15 PELAJAR UPSI MAUT KEMALANGAN NGERI JALAN JELI-GERIK;ARMADA BERSATU RAKAM TAKZIAH

Jeli, 9 Jun 2025 — Tragedi menyayat hati berlaku awal pagi tadi apabila sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terlibat dalam kemalangan ngeri di Jalan Jeli-Grik, mengakibatkan 15 orang pelajar disahkan maut di tempat kejadian.

Susulan insiden tersebut, Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, Hilman Idham, mengeluarkan kenyataan rasmi merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua keluarga mangsa yang terlibat.

“ARMADA BERSATU Malaysia merakamkan rasa dukacita yang mendalam atas tragedi ini. Saya mewakili seluruh warga ARMADA ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga 15 orang pelajar yang telah terkorban. Semoga roh mereka dicucuri rahmat Allah SWT, dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada serta orang-orang yang soleh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua urusan pengurusan jenazah dan kebajikan mangsa dapat dilaksanakan dengan baik dan teratur oleh pihak berkuasa serta institusi berkaitan.

Setakat ini, butiran lanjut mengenai punca kemalangan masih dalam siasatan pihak berkuasa. Beberapa mangsa lain dilaporkan cedera dan sedang menerima rawatan di hospital berdekatan.

Tragedi ini telah mencetuskan kesedihan menyeluruh dalam kalangan masyarakat, khususnya warga institusi pendidikan tinggi di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *