1BestariNet: Dakwaan dan Permainan Persepsi Maszlee Terhadap Muhyiddin Adalah Fitnah Keji dan Politik Murahan

1. Kenyataan-kenyataan Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik, yang cuba
mengaitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan projek 1BestariNet adalah fitnah keji dan
tindakan politik murahan yang jelas berniat jahat.


2. Tindakan Maszlee ini bermula melalui pelbagai platform, termasuk bukunya “Memori Bukan Memoir” yang diterbitkan pada tahun 2021. Apabila tersiar berita bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan ke atas projek 1BestariNet pada 4 September 2024, Maszlee sekali lagi cuba mengaitkan Tan Sri Muhyiddin dengan projek ini melalui reaksinya “Finally” (“akhirnya”) di aplikasi X miliknya. Beliau turut memuat naik tangkap layar berita bertajuk, “Panas: Projek 1BestariNet: Maszlee gesa SPRM siasat Muhyiddin”.


3. Pada 6 September 2024, Maszlee mengulangi tindakan tidak bertanggungjawab ini melalui hantaran di laman Facebook beliau. Dalam hantaran tersebut, beliau memuat naik semula artikel dari bukunya dan menyebut bahawa antara sebab “kenapa Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad memintanya menyerahkan jawatan Menteri Pendidikan adalah kerana permintaan Muhyiddin.” Maszlee juga mendakwa bahawa “Tun Dr. Mahathir memaklumkan bahawa Muhyiddin amat marah kepadanya disebabkan isu berkenaan.”


4. Komen dan hantaran Maszlee pada 4 dan 6 September tersebut jelas bertujuan memberikan gambaran bahawa siasatan SPRM terhadap projek 1BestariNet mempunyai kaitan langsung dengan Tan Sri Muhyiddin. Tindakan ini adalah satu bentuk insinuasi berniat jahat dan cubaan terang-terangan untuk memfitnah beliau.


5. Bagaimanapun, dakwaan serta insinuasi yang dimulakan oleh Maszlee ini telah terbukti tidak berasas apabila SPRM pada 19 Disember 2024 mengesahkan bahawa siasatan terhadap projek 1BestariNet mendapati tiada unsur jenayah dalam pelaksanaan tender tersebut. Tambahan lagi, SPRM telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak berkaitan projek berkenaan.


6. Permainan persepsi yang dilakukan oleh Maszlee adalah tindakan yang sangat jelik, yang bertujuan untuk mencemarkan imej Tan Sri Muhyiddin dan mengalihkan perhatian daripada kegagalannya sendiri sebagai Menteri Pendidikan. Tindakan beliau mengaitkan perletakan jawatannya dengan Tan Sri Muhyiddin tidak mempunyai asas, malah ia merupakan satu percubaan pengecut untuk membina naratif palsu dan merosakkan kredibiliti seorang pemimpin yang berintegriti.


7. Dr. Maszlee Malik wajar menarik balik semua tuduhan tidak berasas ini serta memohon maaf secara terbuka dengan segera. Jika beliau gagal untuk berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi agar keadilan dapat ditegakkan.


YB Dato’ Dr. Sahruddin Bin Jamal
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Johor
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Malaysia
20 Disember 2024