PULAU PINANG, [6 Mar] – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Yang Berhormat Izhar Shah Datuk Arif Shah, telah diberi kepercayaan untuk menerajui sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Ketua Armada Bersatu Negeri Pulau Pinang.
Pelantikan ini dilihat akan dapat mengukuhkan lagi peranan beliau dalam memperjuangkan suara anak muda dan memperkasakan gerakan politik di negeri ini.
Dalam kenyataan yang dipetik menerusi laman rasmi Facebook beliau, YB Izhar Shah menzahirkan rasa syukur dan penuh keinsafan atas kepercayaan yang diberikan serta komited untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan dedikasi.
“Saya percaya ini bukan sekadar jawatan, tetapi ini suatu tanggungjawab yang besar untuk terus memperjuangkan suara anak muda, memperkukuh perjuangan parti, dan memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan.” katanya.
Beliau juga menegaskan akan melaksanakan tugas sehabis baik, demi masa depan (parti dan negeri) yang lebih gemilang.
Pelantikan ADUN termuda dalam negeri Pulau Pinang sebagai Ketua Armada Bersatu Negeri Pulau Pinang turut dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan gerakan anak muda dalam politik negeri Pulau Pinang, khususnya dalam menghadapi cabaran mendatang serta untuk membawa perubahan yang lebih baik buat negeri Pulau Pinang.
Dalam Majlis Pelantikan yang telah dijalankan di Ibu Pejabat BERSATU, Sdr. Danial Ramlan, Ketua Armada Bahagian Jelutong telah dilantik sebagai Naib Ketua Armada Bersatu Negeri Pulau Pinang.