ARMADA BERSATU Malaysia memandang serius kenyataan Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang mencadangkan agar jawatan Yang Dipertua Negeri dijadikan jawatan yang dipertandingkan di dalam pilihan raya bagi mengelakkan polemik ketika pelantikan Tun Musa Aman dilantik sebagai Yang Dipertua Sabah baru-baru ini berulang.
Kami berpandangan bahawa kenyataan ini adalah satu cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada isu utama, iaitu pelantikan seorang individu dengan rekod yang mencurigakan ke jawatan yang sangat penting dalam negara.
Sebagai sayap pemuda sebuah parti dalam Kerajaan, AMK seharusnya tegas menentang pelantikan ini secara jelas dan lantang, selaras dengan prinsip Reformasi yang mereka dakwa mereka perjuangkan.
Presiden mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Perdana Menteri, pernah dengan lantang menuduh sistem kehakiman negara mengamalkan sistem perundangan dua darjat apabila 46 pertuduhan rasuah dan penggubahan wang haram terhadap Tun Musa Aman digugurkan.
Namun kini, beliau secara terbuka mengucapkan tahniah kepada individu yang sama atas pelantikannya. Ini jelas menunjukkan percanggahan antara kata-kata dan tindakan. Justeru, kami menasihatkan AMK untuk segera mengemukakan cadangan tersebut kepada Presiden dan kepimpinan PKR untuk dipersetujui dan dilaksanakan segera.
Kami menyeru AMK dan kepimpinan kerajaan untuk menghayati semula prinsip Reformasi yang mereka dakwa mereka perjuangkan. Rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan yang konsisten dan tegas dalam isu-isu penting seperti memerangi rasuah, bukan sikap yang berubah-ubah mengikut keadaan dan kepentingan politik.
Na’im Brundage
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA
(Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu)
18 Disember 2024