KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk meletakkan jawatan serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan beliau untuk merujuk isu undang-undang dalam kes saman sivil oleh Muhammed Yusoff Rawther ke Mahkamah Persekutuan.
Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Dr. Afif Bahardin, perkembangan terkini dalam kes sivil berkenaan yang melibatkan dakwaan salah laku seksual membawa implikasi besar terhadap kedudukan moral dan integriti Anwar sebagai ketua kerajaan.
“Kes ini bukan lagi soal peribadi, tetapi telah menjadi isu nasional kerana ia menyentuh kelayakan moral dan prinsip kebertanggungjawaban seorang Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Afif berkata dalam sektor perkhidmatan awam, mana-mana pegawai yang disiasat atas salah laku lazimnya akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan. Justeru, beliau mempersoalkan kenapa prinsip sama tidak terpakai kepada pemegang jawatan tertinggi negara.
“Adalah tidak masuk akal jika prinsip yang sama tidak diterapkan kepada seorang Perdana Menteri,” tambah beliau.
Katanya lagi, isu ini bukan soal politik, tetapi soal keadilan, ketelusan dan kepercayaan terhadap institusi negara. Beliau menegaskan bahawa Anwar perlu berundur bagi memastikan institusi Perdana Menteri kekal bebas daripada sebarang bayangan krisis moral dan undang-undang.
“Kami mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan serta-merta bagi memelihara keutuhan sistem pentadbiran negara.”
Dr. Afif turut menegaskan bahawa proses perundangan perlu berlangsung tanpa campur tangan politik, dan negara seharusnya dipimpin oleh individu yang benar-benar bersih daripada sebarang liabiliti moral atau undang-undang.