Ipoh, 12 Jun 2025 — Susulan insiden nahas kemalangan bas yang membawa pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, serta peningkatan mendadak kadar penggunaan darah semasa musim perayaan, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh kini berdepan situasi kekurangan bekalan darah.
Prihatin dengan situasi ini, Ketua ARMADA BERSATU Negeri Perak, YB Syed Lukman Hakim telah tampil ke hadapan menggerakkan satu inisiatif kemanusiaan dengan menyeru seluruh ahli ARMADA BERSATU dari pelbagai bahagian di negeri Perak agar tampil menderma darah secara sukarela di hospital tersebut.
Dalam satu kenyataan media, beliau berkata, “Sebagai anak muda yang bertanggungjawab kepada masyarakat, ini masanya untuk kita bertindak. Hospital HRPB sedang bergelut dengan permintaan darah yang tinggi, terutamanya bagi kes-kes kecemasan seperti nahas bas baru-baru ini. Kehadiran kita bukan sahaja mampu membantu, malah memberi mesej bahawa ARMADA sentiasa bersama rakyat ketika saat memerlukan.”
Kempen yang digerakkan melalui kerjasama antara ARMADA BERSATU Negeri dan Unit Tabung Darah HRPB itu dijangka melibatkan ahli-ahli ARMADA dan sukarelawan muda dari seluruh negeri, termasuk dari daerah-daerah seperti Ipoh, Batu Gajah, dan Kuala Kangsar.
Kempen ini turut disokong oleh pihak pengurusan hospital yang menyambut baik inisiatif tersebut. Salah seorang pegawai di Jabatan Perubatan Transfusi HRPB,Ipoh menyatakan, “Inisiatif seperti ini sangat penting ketika waktu genting. Kehadiran kumpulan besar penderma secara konsisten mampu menstabilkan semula stok darah dan memastikan rawatan kepada pesakit tidak terganggu.”
YB Syed Lukman Hakim turut mengajak masyarakat umum untuk menyertai usaha ini, tidak kira latar belakang politik atau usia. “Darah tidak mengenal parti atau kaum. Bila nyawa dipertaruhkan, kita semua harus bangkit bersama,” katanya dalam nada tegas.
Orang ramai yang berminat untuk menderma darah atau menyumbang dalam bentuk lain disarankan untuk menghubungi Tabung Darah HRPB.
Laporan Oleh; Jack Ipoh