ARMADA BERSATU SOKONG LANGKAH KONKRIT UNTUK INDUSTRI TEMPATAN BERDEPAN KESAN TARIF TIMBAL BALIK AS 

Kuala Lumpur, 5 April 2025 – ARMADA BERSATU Wilayah dalam satu kenyataan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan konkrit Timbalan Presiden BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkenaan impak peningkatan tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat ke atas Malaysia. Dalam kenyataan medianya, ARMADA BERSATU menyuarakan keprihatinan terhadap situasi ekonomi negara yang semakin terjejas akibat tekanan global, cabaran dalaman, dan ketidaktentuan dasar fiskal.

Antara langkah yang disyorkan oleh YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin melalui Kenyataan Media Ketua Pembangkang sebelumnya adalah;

i. Pelaksanaan penangguhan cukai (Tax Delay)

ii. Penubuhan satu dana bantuan khas berbentuk geran padanan ataupun pinjaman kewangan kepada pemain industri

iii. Kerajaan perlu sediakan insentif eksport yang lebih menarik untuk membantu industri tempatan meneroka pasaran baharu dan mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran sedia ada yang kini terjejas akibat tarif baharu Amerika Syarikat

iv. Mengalu-alukan langkah menggunakan platform ASEAN bagi merangka tindak balas serantau untuk berdepan dasar baharu Amerika Syarikat.

Langkah-langkah konkrit ini disyorkan Timbalan Presiden BERSATU supaya pemain industri khususnya PKS tidak berdepan risiko gulung tikar atau terpaksa mengurangkan bilangan pekerja bagi menyesuaikan diri dengan cabaran global mahupun domestik akibat berdepan kesan tarif timbal balik AS.

Menurut Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Wilayah, Muhammad Nazreen Zainuddin, langkah tarif baharu oleh AS bukan sahaja memberi kesan kepada sektor pembuatan dan eksport, malah turut menekan rakyat Malaysia dengan peningkatan kos sara hidup serta penurunan daya saing industri tempatan.

ARMADA BERSATU turut menyokong gesaan dari pihak pembangkang agar kerajaan segera melaksanakan langkah-langkah konkrit yang dicadangkan untuk melindungi kepentingan industri tempatan dan rakyat. Mereka juga menekankan keperluan untuk menyusun dasar ekonomi yang lebih inklusif dan mengambil kira keperluan golongan muda serta pemain industri kecil dan sederhana.

Selain itu, ARMADA BERSATU juga menggesa kerajaan agar menyediakan insentif yang lebih menarik kepada industri eksport dan menawarkan sokongan kewangan yang mencukupi agar industri tempatan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ekonomi global.

Akhir sekali, ARMADA BERSATU berharap agar kerajaan bersikap telus, responsif, dan serius dalam menangani isu-isu ekonomi yang dihadapi rakyat, serta memastikan kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi terus menjadi keutamaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *