AZMIN, RADZI, ANGGOTA JAWATANKUASA RUNDINGAN MUAFAKAT POLITIK BAHARU, JAMIN MASA DEPAN CEMERLANG UNTUK NEGARA 

SELANGOR, 25 Mei 2025 – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berlangsung Khamis 22 Mei, menyaksikan perbincangan mendalam selama hampir empat jam yang dipengerusikan oleh Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mesyuarat yang diadakan di Ibu Pejabat BERSATU itu memberi tumpuan utama kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Menurut Setiausaha Agung BERSATU, YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, BERSATU telah mengenal pasti kerusi-kerusi berpotensi tinggi untuk ditandingi dan sedang giat menjalankan rundingan dengan rakan-rakan politik di Sabah.

“BERSATU akan menyertai pilihan raya di Sabah dan rundingan akan diteruskan demi membina kekuatan serta persefahaman untuk kemakmuran rakyat Sabah,” kata Azmin dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan selepas mesyuarat.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU turut meneliti perkembangan terkini usaha membentuk muafakat politik yang lebih luas bersama parti-parti politik berpengalaman dan berpengaruh. Jawatankuasa Rundingan yang dianggotai oleh Naib Presiden YB Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Setiausaha Agung YB Dato’ Seri Azmin Ali akan memperhalusi serta memuktamadkan usaha tersebut.

Dalam mesyuarat tersebut, MPT BERSATU juga memberi penekanan kepada pengukuhan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat serta meningkatkan aktiviti jentera parti di peringkat Parlimen dan negeri.

Satu lagi ketetapan utama mesyuarat ialah kesinambungan Program KEMBARA BERSATU yang dilihat penting dalam mempersiapkan Bahagian dan Badan Pimpinan Negeri menghadapi pilihan raya. Modul program ini menekankan lima tunjang idealisme perjuangan BERSATU dan memberi fokus kepada penyusunan strategi kemenangan, perkongsian data dan analisis pilihan raya serta perluasan jaringan melalui NGO, mahasiswa dan wanita.

“BERSATU bersedia dan akan pecut hingga ke garisan penamat,” ujar Azmin Ali dalam hantaran media sosial beliau, menegaskan iltizam parti untuk membawa obor perjuangan ke seluruh pelusuk negara dan membentuk kerajaan yang cakna serta prihatin terhadap rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *