BERSATU MUAR AKTIFKAN JABATAN PILIHAN RAYA HADAPI PRN JOHOR KE-16

MUAR, 28 Mei 2025 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Muar telah mengaktifkan Jabatan Pilihan Rayanya sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang dijangka boleh diadakan pada bila-bila masa.

Menurut Pengarah Jabatan Pilihan Raya Bahagian merangkap Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Muar, Ahmad Anwar Asyraf Bin Ismail, pengaktifan jabatan tersebut bertujuan untuk merancang, menyelaras dan melaksanakan strategi pilihan raya secara menyeluruh di peringkat bahagian.

“Jabatan ini akan berperanan sebagai pusat operasi utama dalam mobilisasi jentera parti, pengumpulan data pemilih, latihan petugas serta penyelarasan aktiviti kempen,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, BERSATU Bahagian Muar komited untuk menggerakkan seluruh kekuatan jentera parti demi memastikan kemenangan Perikatan Nasional di kerusi N.16 Sungai Balang, selain mempertahankan kemenangan sedia ada di N.15 Maharani.

“Ini adalah satu tekad strategik yang akan digerakkan secara terancang dan tersusun melibatkan semua peringkat organisasi parti,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Ahmad Anwar turut menyeru semua ahli parti supaya bersedia untuk digerakkan pada bila-bila masa. Beliau turut mengalu-alukan penyertaan rakyat yang prihatin untuk menjadi sukarelawan dalam pasukan pilihan raya.

Pendaftaran sukarelawan boleh dibuat menerusi pautan berikut: https://forms.gle/tsALUvbU3k8fUWnW8.

PRN Johor Ke-16 dijangka menjadi medan penting buat semua parti politik di negeri ini, dengan tumpuan tertumpu kepada kawasan-kawasan marginal seperti Sungai Balang dan Maharani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *