BERSATU DESAK KERUSI PARLIMEN LABUAN DIISYTIHAR KOSONG, GESA PILIHAN RAYA SEGERA

KUALA LUMPUR, 29 April 2025 — Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mendesak agar kerusi Parlimen P.166 Labuan diisytiharkan kosong susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membatalkan tuntutan saman difailkan oleh penyandang kerusi tersebut, YB Dato’ Indera Suhaili Abdul Rahman, terhadap parti berkenaan.

Ketua Whip BERSATU, YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, yang juga Naib Presiden BERSATU dalam kenyataan medianya memaklumkan bahawa satu surat rasmi telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi menuntut pengisytiharan kekosongan kerusi tersebut.

Menurut beliau, keputusan mahkamah pada 15 April 2025 yang membatalkan Writ Saman dan Penyata Tuntutan oleh YB Dato’ Indera Suhaili membuktikan bahawa alasan yang digunakan oleh Speaker Dewan Rakyat sebelum ini untuk menolak permohonan pengisytiharan kekosongan kerusi Labuan kini tidak lagi relevan.

“YB Tan Sri Speaker tidak mempunyai pilihan lain selain menghormati dan menjunjung mulia Perlembagaan Persekutuan dengan membuat perisytiharan bahawa berlaku kekosongan bagi kerusi P.166 Parlimen Labuan,” tegas Dr. Ronald.

Dengan kekosongan itu, BERSATU menggesa agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menetapkan tarikh bagi mengadakan satu pilihan raya kecil bagi kerusi tersebut.

YB Dato’ Indera Suhaili sebelum ini digugurkan keahliannya sebagai ahli BERSATU, namun kekal memegang kerusi Labuan sebagai wakil rakyat. Tindakan undang-undang yang diambil beliau terhadap parti kini tidak lagi mempunyai asas susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *