BERSATU KELANTAN GESA KERAJAAN TANGGUH RASIONALISASI SUBSIDI RON95 DEMI KEBAJIKAN RAKYAT

KOTA BHARU,– Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Kelantan menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangka memberi kesan langsung kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Ketua Badan Pimpinan Negeri, YB Datuk Kamarudin Md Nor, langkah tersebut dianggap tidak wajar dilaksanakan pada waktu ini memandangkan ekonomi rakyat masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan peningkatan kos sara hidup, ketidaktentuan harga barangan asas serta impak pasca pandemik dan banjir besar yang melanda negeri tersebut.

“Keadaan ekonomi rakyat, terutamanya di negeri seperti Kelantan, masih perlahan. Pelaksanaan rasionalisasi ini berisiko membebankan rakyat dan menambah tekanan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut mempersoalkan tahap kesiapsiagaan sistem penyasaran subsidi yang dikatakan akan digunakan untuk mengelakkan ketirisan. Menurut beliau, tiada jaminan kukuh bahawa sistem itu mampu mengenal pasti serta melindungi semua golongan rentan daripada terjejas.

Sehubungan itu, BERSATU Kelantan mengemukakan tiga gesaan utama kepada Kerajaan Persekutuan:

1. Menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 sehingga satu kajian impak menyeluruh dilakukan melibatkan semua negeri, terutama negeri-negeri yang ekonominya masih perlahan seperti Kelantan.

2. Memberikan penjelasan terperinci kepada rakyat mengenai mekanisme subsidi bersasar agar ia benar-benar telus, berkesan dan tidak menyusahkan.

3. Melibatkan kerajaan negeri dan pertubuhan masyarakat sivil dalam proses perundingan sebelum dasar sebesar itu dilaksanakan.

Datuk Kamarudin menegaskan bahawa BERSATU Kelantan akan terus menyuarakan kebajikan rakyat agar setiap dasar negara tidak hanya berasaskan angka dan statistik semata-mata, tetapi turut mengambil kira realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.

“BERSATU akan terus berdiri teguh bersama rakyat dalam memastikan kebajikan mereka terpelihara,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *