BERSATU PILIHAN UTAMA PENGUNDI KUBANG PASU, PENERAJU POLITIK ABAD KE-21 – ADAM RADZI

Kubang Pasu, 28 April 2025 — Menyahut aspirasi “BERSATU Peneraju Parti Abad Ke-21”, Ketua ARMADA BERSATU Kubang Pasu, Adam Radzi menegaskan bahawa BERSATU kini menjadi wadah utama perjuangan Melayu-Islam di kawasan itu, sejajar dengan realiti politik semasa.

Menurut Adam, dalam konteks politik semasa di Parlimen Kubang Pasu yang merangkumi DUN Jitra dan Bukit Kayu Hitam, BERSATU menunjukkan keupayaan sebagai peneraju perubahan apabila dua kali menewaskan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan ke-15 (PRU-15). Katanya, kepercayaan masyarakat terhadap UMNO merosot ketara pada PRU-15 sehingga parti itu turut kecundang kepada Pakatan Harapan.

“Dengan rekod cemerlang ini, jelas bahawa BERSATU adalah pilihan utama rakyat Kubang Pasu, khususnya masyarakat Melayu-Islam,” katanya. Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan dalam BERSATU tidak hanya bersifat taksub kepada kedudukan, tetapi berteraskan prinsip menilai kepimpinan berasaskan integriti dan prestasi.

Mengulas lanjut, Adam menegaskan bahawa budaya politik BERSATU Kubang Pasu lebih fleksibel dan terbuka, dengan keutamaan diberikan kepada mempertahankan hak Melayu-Islam tanpa mengorbankan semangat toleransi dan kerjasama antara parti. “Kalau perjuangan lari daripada landasan, kami tetap akan tinggalkan. Prinsip itu kami pegang setiap hari,” tegas beliau.

Menceritakan perjalanan politik BERSATU di Kubang Pasu, Adam berkata, parti itu telah membuktikan kematangan politik dengan memberi ruang kepada PAS menerajui Pihak Berkuasa Tempatan dan UMNO memegang jawatan Penyelaras DUN Jitra walaupun BERSATU sendiri memenangi semua kerusi pada PRU-14. “Ini membuktikan bahawa kami mengutamakan kesepakatan demi rakyat, bukan kedudukan semata-mata,” ujarnya.

Seiring dengan semangat “Peneraju Parti Abad Ke-21”, Adam mengajak semua parti politik di Kubang Pasu untuk meninggalkan budaya lama yang sarat dengan drama politik. “Rakyat sudah matang. PRU-16 nanti, rakyat akan menilai berdasarkan fakta dan prestasi, bukan emosi,” katanya.

Mengakhiri kenyataan, Adam menyeru supaya semua parti berlumba dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat, menekankan bahawa BERSATU Kubang Pasu kekal komited membawakan agenda perubahan yang realistik, adil dan sejahtera untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *