SALOMA JALAN AMPANG, 16 Mac 2025 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini mengadakan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) kali kedua bagi tahun 2025 sebelum Majlis Iftar BERSATU di Saloma, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, yang dipengerusikan oleh Presiden Pengasas BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mesyuarat turut dihadiri oleh Timbalan Presiden YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Naib-Naib Presiden, Setiausaha Agung YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, serta Ketua-Ketua Sayap BERSATU. Perbincangan menumpukan kepada perkembangan keahlian di peringkat akar umbi serta perjuangan parti dalam membela kebajikan rakyat dan masa depan negara.
“BERSATU akan terus memperjuangkan isu-isu kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta kecemerlangan masa depan negara,” ujar Naib Presiden BERSATU, YB Datuk Dr. Mohd Radzi Jidin.
Selepas mesyuarat, pimpinan BERSATU menyertai Majlis Iftar BERSATU, yang mendapat sambutan meriah dengan kehadiran Ketua-Ketua Bahagian dan Ketua-Ketua Sayap dari seluruh negara. Sebelum berbuka, hadirin mendengar Tazkirah Ramadan oleh Ustaz Mohd Jaafarudin Md Ali, bertajuk “Menggapai Ibrah Badar”, yang menekankan kepentingan strategi dalam perjuangan, kepatuhan kepada kepimpinan, serta pergantungan kepada Allah SWT. Bacaan ayat suci al-Quran turut diperdengarkan oleh Ustaz Qari’ Amirahman Abas.
Majlis diteruskan dengan solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih berjemaah, yang diimamkan oleh Ustaz Qari Haji Zainur Irsyadi Zainal. Dalam ucapannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa perjuangan BERSATU mesti berlandaskan prinsip dan nilai yang murni, selain menyeru ahli agar kekal cekal menghadapi cabaran dalam mempertahankan agama, bangsa, dan tanah air.
Sebagai penutup, rakaman takbir Hari Raya Aidilfitri diketuai oleh YB Presiden, disertai pimpinan pelbagai peringkat. Majlis ini bukan sahaja memperkukuh ukhuwah dalam parti tetapi juga mengukuhkan semangat perjuangan demi rakyat dan negara berdaulat.