CADANG TUBUH JAWATANKUASA TETAP SELIA HAL EHWAL AGAMA HINDU – AMPT BERSATU

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Yang Berhormat Datuk Wan Saiful Wan Jan berterima kasih kepada para pemimpin daripada lapan pertubuhan penganut agama Hindu yang datang bertemu beliau di Parlimen pada Rabu 19 Februari 2025.

Turut hadir bersama ialah Ketua Sayap Bersekutu BERSATU Bangi, Saudara Vasantha Kumar.

Pertubuhan-pertubuhan ini mewakili para sami (gurukkal), pengamal undang-undang, aktivis belia, aktivis pendidikan agama, dan aktivis kebajikan daripada seluruh negara.

Perbincangan berjalan mengenai pelbagai topik yang membabitkan situasi sosio-politik, ekonomi dan kebajikan penganut agama Hindu di Malaysia. Perbincangan berlaku secara mesra dan amat bermakna dalam usaha BERSATU dan Perikatan Nasional mahu memastikan kebajikan semua rakyat tanpa mengira agama atau bangsa dapat dijaga, serta kemakmuran yang dijana oleh negara juga dapat dikongsi secara adil secara bersama.

Yang Berhormat Datuk Wan Saiful Wan Jan yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor yakin BERSATU dan Perikatan Nasional sentiasa mendengar rintihan, permintaan, dan cadangan segenap lapisan rakyat. Dalam perbincangan ini, antara perkara utama yang dibangkitkan adalah cadangan untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Tetap bagi menyelia hal-hal berkaitan agama Hindu.

Semua yang hadir dalam perbincangan tersebut menyatakan kemahuan mereka untuk melihat Jawatankuasa Tetap ini ditubuhkan, dan diberi kuasa untuk menyelia dan memberi nasihat dalam pelbagai aspek keagamaan Hindu, termasuklah berkaitan pembinaan kuil, pengurusan kuil, pendidikan agama Hindu di kalangan penganutnya, serta memastikan kebajikan penganut agama Hindu.

Beliau juga dimaklumkan bahawa idea penubuhan Jawatankuasa Tetap ini telah pernah disuarakan sebelum ini, tetapi belum berhasil.

Sehubungan itu, beliau memberi komitmen bahawa beliau akan mengangkat cadangan ini kepada pemimpin atasan BERSATU dan Perikatan Nasional (PN), serta akan cuba menyuarakannya kepada kerajaan di peringkat yang sesuai.

Tambahnya lagi, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang mengutamakan perpaduan dan keharmonian. Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin hak setiap individu untuk mengamalkan agama masing-masing. Beliau percaya bahawa setiap komuniti berhak mendapat perhatian serta sokongan dalam memastikan keperluan keagamaan mereka dihormati oleh semua.

Beliau juga optimis bahawa perbincangan sebegini akan menjadi salah satu langkah ke arah kerjasama yang lebih erat antara antara BERSATU, Perikatan Nasional dan warga India di Malaysia.