KUALA LUMPUR, 22 Mei 2025 – Cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun terus mengundang kritikan, kali ini daripada sayap wanita muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Srikandi Muda, yang menyifatkan ia sebagai bukti jelas kegagalan kerajaan memahami keperluan sebenar rakyat, khususnya wanita muda.
Dalam satu kenyataan tegas yang dikeluarkan Ketua Srikandi Muda BERSATU, Nurul Ezzati Azmi, beliau mempersoalkan keutamaan kerajaan ketika ini, yang dilihat lebih berminat mencadangkan dasar populis yang tidak menyentuh akar masalah rakyat.
“Dalam suasana ekonomi yang menekan, dengan kos sara hidup tinggi dan peluang pekerjaan yang sempit, cadangan menaikkan umur persaraan bukan sahaja tidak wajar, malah menunjukkan kerajaan gagal membaca denyut nadi rakyat,” katanya.
Wanita Muda Terhimpit, Peluang Terhad
Srikandi Muda turut menekankan bagaimana wanita muda kini berdepan dengan cabaran berganda – bukan sahaja menghadapi pasaran kerja yang semakin kompetitif, malah terus dihimpit diskriminasi gender secara senyap dan sistematik.
“Ramai wanita muda akhirnya terpaksa beralih ke sektor tidak formal atau pekerjaan bergaji rendah. Bukan kerana mereka tidak berkelayakan, tetapi kerana sistem tidak memberi mereka ruang yang adil untuk berkembang,” jelas Nurul Ezzati.
Laporan Khazanah Research Institute turut disebut, yang menunjukkan lebih satu pertiga graduan negara terpaksa bekerja dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik – satu gambaran jelas kegagalan struktur ekonomi negara dalam menjana pekerjaan berkualiti.
Pengangguran Belia Membimbangkan
Dengan kadar pengangguran belia kekal tinggi – 10.4% bagi kumpulan umur 15–24 tahun dan 6.2% bagi 15–30 tahun pada tahun 2024 – Srikandi Muda menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan sebagai tidak bertanggungjawab dan bakal menyekat kemasukan generasi muda ke pasaran kerja.
“Apakah ini bukan isyarat cukup kuat bahawa kerajaan sepatutnya memfokus kepada memperluas peluang kerja dan membaiki struktur gaji terlebih dahulu?” soal Nurul Ezzati.
Tuntutan Jelas: Fokus Kepada Masalah Sebenar
Srikandi Muda menggariskan tiga tuntutan utama kepada kerajaan:
1. Fokus menyelesaikan isu pengangguran graduan dan ketidakpadanan kemahiran;
2. Tangani diskriminasi terhadap wanita muda secara serius;
3. Laksanakan libat urus menyeluruh sebelum memperkenal sebarang dasar berkaitan umur persaraan.
“Wanita muda Malaysia tidak perlukan cadangan bersifat kosmetik. Kami mahu keadilan peluang dan masa depan yang setara,” tegas Nurul Ezzati mengakhiri kenyataan.