PASIR SALAK, 21 Mei 2025 – Sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), ARMADA, hari ini menyuarakan bantahan terhadap cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun, dengan menegaskan bahawa keutamaan negara ketika ini seharusnya ditumpukan kepada isu pengangguran belia dan graduan.
Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh EXCO ARMADA BERSATU merangkap Ketua Biro Graduan Muda, Mahasiswa dan Undi18, Muhammad Airil Fitri Jalalludin, beliau menyifatkan cadangan tersebut sebagai tidak sensitif terhadap kegelisahan generasi muda hari ini.
“Walaupun ia belum menjadi dasar rasmi kerajaan, kenyataan sebegini memberi gambaran seolah-olah kerajaan tidak peka terhadap keresahan anak muda,” ujar beliau.
Airil Fitri memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan kadar pengangguran belia berumur 15–24 tahun kekal tinggi pada 10.4% pada tahun 2024, manakala kumpulan usia 15–30 tahun pula berada pada 6.2%. Katanya, angka ini melibatkan ratusan ribu anak muda yang masih tercari-cari arah dalam hidup dan kerjaya.
Selain itu, beliau turut menyentuh masalah ketidakpadanan antara kelayakan akademik dan pekerjaan yang diceburi oleh graduan, yang menurut Laporan Khazanah Research Institute, melibatkan lebih satu pertiga graduan di negara ini.
“Pasaran kerja kita tidak berkembang seiring dengan jumlah graduan yang dihasilkan setiap tahun. Tambahan pula, pekerjaan berkemahiran tinggi yang diwujudkan masih belum mencukupi,” tegas Airil.
Beliau memberi amaran bahawa menaikkan umur persaraan boleh menyekat laluan kemasukan golongan muda ke dalam pasaran kerja, seterusnya meningkatkan kadar pengangguran dan menghakis keyakinan anak muda terhadap masa depan negara.
Sebagai alternatif, ARMADA BERSATU menggesa agar kerajaan menumpukan kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, menyelesaikan isu pengangguran graduan, dan merapatkan jurang antara sistem pendidikan dan keperluan pasaran kerja.
“Kami juga menyeru agar sebarang dasar besar seperti perubahan umur persaraan wajib dibincangkan secara terbuka dan inklusif, melibatkan suara anak muda, industri, pakar pendidikan dan NGO belia. Ia tidak boleh dibuat hanya berdasarkan perbandingan dengan negara lain tanpa memahami realiti Malaysia,” tambahnya.
ARMADA BERSATU menegaskan komitmen untuk terus menjadi suara anak muda dan akan menolak sebarang cadangan yang memburukkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan tersebut.
“Perjuangan kami adalah untuk memastikan pekerjaan yang bermaruah, pendapatan yang wajar dan masa depan yang stabil untuk semua rakyat Malaysia, khususnya anak muda,” kata Airil Fitri mengakhiri kenyataannya.