CUKAI SST, TARIF ELEKTRIK, RON 95; DASAR 3 SERANGKAI TAMBAH DERITA PENIAGA, BEBANI PENGGUNA – AMPT BERSATU

PARIT BUNTAR, 16 Jun 2025 — Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Halim Nayan, hari ini tampil mengulas kenyataan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin, dengan menegaskan bahawa pelaksanaan serentak tiga dasar ekonomi Kerajaan yang dijangka bermula pada separuh kedua 2025 hanya akan terus menekan rakyat, khususnya anak muda dan peniaga kecil. Tiga dasar yang dimaksudkan ialah perluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), kenaikan tarif asas elektrik serta subsidi bersasar petrol RON95.

Menurut Halim, perluasan skop SST yang mendakwa hanya menyasarkan barangan premium sebenarnya jauh lebih luas daripada yang diumumkan apabila senarai barangan bercukai meningkat mendadak, manakala senarai pengecualian pula berkurang. Ini, katanya, membebankan pengguna apabila kos perkhidmatan penting seperti sewaan, pembinaan dan pendidikan turut dikenakan cukai, sekali gus menaikkan harga barang keperluan rakyat secara keseluruhan.

Beliau turut menekankan bahawa golongan muda menjadi mangsa utama dasar tidak terancang ini. Dalam keadaan gaji rendah, peluang pekerjaan terhad dan beban hutang pendidikan, penambahan cukai ke atas perkhidmatan asas hanya akan memadamkan peluang anak muda untuk membina masa depan lebih baik. Halim turut membangkitkan isu pengangguran belia yang kekal tinggi serta cadangan menaikkan umur persaraan yang bakal mengecilkan lagi peluang kerja bagi generasi muda.

Selain SST, kenaikan tarif asas elektrik juga dijangka menekan industri kecil dan sederhana yang akan menanggung kenaikan kos operasi, seterusnya memindahkan beban tersebut kepada rakyat. Sementara itu, pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula masih kabur tanpa penjelasan terperinci tentang mekanisme pengesahan dan agihan yang adil. Beliau bimbang golongan rentan akan terus tercicir jika kelemahan sistem tidak diperbaiki.

Sehubungan itu, Halim mendesak agar kerajaan segera menangguhkan perluasan SST dan kenaikan tarif elektrik sehingga ekonomi rakyat benar-benar pulih. Beliau juga menegaskan perlunya subsidi bersasar dilaksanakan hanya selepas wujud satu sistem pengkategorian yang tepat dan telus dengan agensi penyelaras tunggal. Beliau mengingatkan kerajaan supaya mendahulukan suara rakyat, bukan hanya mengejar angka hasil negara tetapi membiarkan rakyat menanggung beban akibat kelemahan pentadbiran.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *