DAHULU JANJI HAPUS PTPTN, SEKARANG SINDIR PEMINJAM – ARMADA BERSATU MALAYSIA

PARIT BUNTAR, 13 Jun 2025 – EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA, Halim Nayan, hari ini mengkritik kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi berkenaan lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal melunaskan pinjaman, menyebabkan tunggakan mencecah RM5 bilion.

Menurut Halim, kenyataan tersebut bersifat menyindir serta menyalahkan peminjam tanpa menilai secara objektif punca sebenar kegagalan bayaran balik, termasuk faktor pengangguran dan tekanan ekonomi semasa.

“Kerajaan hari ini sewaktu masih bergelar pembangkang pernah berjanji menghapuskan PTPTN dalam manifesto mereka. Tetapi selepas mendapat kuasa, janji itu dilupakan, dan kini rakyat pula dipersalahkan,” tegas beliau.

Beliau menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan semasa pasaran pekerjaan, yang menurutnya semakin mengecil, dengan ramai graduan masih menganggur atau hanya memperoleh pekerjaan kontrak bergaji rendah.

Halim turut membidas cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun, yang menurutnya akan “menambah tekanan kepada golongan muda” serta menyempitkan peluang pekerjaan bagi graduan baharu.

Sebagai jalan penyelesaian, beliau mencadangkan kerajaan memperkenalkan moratorium bersasaruntuk peminjam yang masih menganggur atau berpendapatan rendah, disertai mekanisme semakan tahunan yang telus dan adil.

Dalam pada itu, beliau menggesa reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan tinggi agar lebih selaras dengan keperluan industri. Halim mencadangkan kerjasama lebih erat antara universiti dan sektor industri menerusi latihan industri berbayar dan program padanan pekerjaan.

Halim juga mengingatkan kerajaan agar tidak terus beretorik atau menyalahkan rakyat atas kegagalan dasar mereka sendiri.

“Anak muda hari ini tersepit dalam sistem yang gagal memahami realiti kehidupan. Jangan jadikan mereka kambing hitam untuk menutup kelemahan pentadbiran.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *