PUTRAJAYA, 17 Jun — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, menyifatkan semalam sebagai detik paling memalukan buat Perdana Menteri ke-10 PMX yang juga Menteri Kewangan, apabila beliau dikritik hebat dan diperlekeh oleh pelbagai pihak termasuk pembangkang, netizen, malah ahli serta cybertrooper UMNO dan MCA yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PH-BN sendiri. Tun Faisal mendakwa kejahilan Anwar Ibrahim berhubung perbezaan asas antara cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menjadi punca beliau menjadi bahan sindiran secara terbuka.
Menurut Tun Faisal, tindakan Perdana Menteri itu mengeluarkan kenyataan yang bercelaru mengenai GST dan SST seolah-olah menganggap rakyat Malaysia tidak cerdik dan mudah dipengaruhi, seperti mana penyokong PKR, DAP dan PH yang didakwa menelan bulat-bulat apa sahaja kenyataan pemimpin mereka. Beliau menegaskan bahawa rakyat kini semakin cerdik dan celik maklumat malah tidak lagi mudah diperdaya. Tambahan pula segelintir penyokong parti-parti kerajaan sendiri pun tidak teragak-agak membidas kenyataan tersebut.
Beliau turut mempersoalkan bagaimana ahli-ahli dan cybertrooper UMNO serta MCA — rakan komponen dalam kerajaan — juga memilih untuk memperlekeh Perdana Menteri tanpa sebarang usaha mempertahankan beliau. Situasi ini, katanya, jelas menggambarkan tahap keyakinan yang rendah dalam kalangan penyokong kerajaan sendiri terhadap keupayaan PM10 memahami isu fiskal negara dengan tepat.
Tun Faisal menyifatkan keadaan ini sebagai suatu kelemahan yang serius dan membahayakan negara kerana dasar percukaian yang silap akibat kejahilan pemimpin boleh memberi risiko besar kepada ekonomi. Beliau juga membangkitkan persoalan mengapa Malaysia masih kekal dengan sistem percukaian lama (SST) sedangkan lebih 160 negara lain telah beralih kepada sistem GST yang lebih efisien dan telus.
Lebih mengecewakan, tegas beliau, adalah sikap membisu media arus perdana yang enggan mengetengahkan kejahilan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai isu besar. Katanya, ketiadaan liputan meluas mengenai insiden memalukan itu hanya mengukuhkan persepsi bahawa media Malaysia dikongkong kerajaan dan takut menjalankan peranan semak dan imbang. Beliau memberi amaran bahawa selagi rakyat tidak mendapat maklumat yang benar dan tepat, agenda ‘pembodohan rakyat’ akan terus berjalan, dengan ekonomi dan rakyat menjadi mangsa utama.