“EH, HELLO…NAK NAIKKAN GAJI AHLI PARLIMEN? APA CERITA NI? – KETUA SRIKANDI BERSATU MALAYSIA

Masjid Tanah, 15 Mei – Ketua Srikandi BERSATU Malaysia merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), YB Datuk Mas Ermieyati Samsudin hari ini menyuarakan bantahan tegas terhadap cadangan menaikkan gaji ahli Parlimen yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen PKR, Wong Chen.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, beliau mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam mencadangkan kenaikan gaji wakil rakyat ketika rakyat sedang berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi.

“Eh, hello… Nak naikkan gaji ahli Parlimen? Apa cerita ni?” soal beliau dalam nada sinis.

Menurut Mas Ermieyati, wakil rakyat dari blok kerajaan ketika ini sudah pun menerima peruntukan tahunan berjumlah RM3.8 juta untuk pembangunan kawasan serta RM300,000 bagi pengurusan pejabat. Ini termasuk bayaran bil, sewa pejabat, dan kos operasi lain.

Sebaliknya, wakil rakyat pembangkang tidak menerima walau satu sen pun peruntukan daripada kerajaan, meskipun dijanjikan sebelum ini.

“Bayangkan, yang dapat lebih RM4 juta pun rasa terbeban. Kami di pihak pembangkang tak dapat apa-apa. Jadi di mana logiknya nak naikkan gaji ahli Parlimen?” tegas beliau.

Beliau turut berkongsi realiti yang dihadapi oleh wakil rakyat pembangkang, termasuk terpaksa menggunakan sebahagian besar daripada elaun dan gaji sendiri untuk operasi pusat khidmat serta membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Saya sendiri peruntukkan 60 ke 65 peratus daripada elaun dan gaji saya untuk pusat khidmat. Anak rakyat nak masuk asrama, rumah dipotong air dan elektrik, perlukan katil, pampers – semua datang kepada kami,” katanya.

Mas Ermieyati turut mempersoalkan kegagalan kerajaan untuk memasukkan isu peruntukan adil kepada semua Ahli Parlimen dalam draf Akta Perkhidmatan Parlimen yang dibentangkan baru-baru ini, walaupun ia merupakan janji dalam manifesto.

“Dengan majoriti dua pertiga, sepatutnya kerajaan gunakan kuasa itu untuk bantu rakyat, bukan nak naikkan gaji sendiri,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa wakil rakyat kerajaan seharusnya menggunakan peruntukan sedia ada untuk menyantuni rakyat, bukan memperjuangkan kepentingan sendiri di kala rakyat masih bergelut dengan pelbagai cabaran ekonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *