KUALA LUMPUR – Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, Saudara Khairi Zainol, insiden kekasaran terhadap penjaja kecil dikenali sebagai “Abang Belon” oleh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan bukan sekadar satu kejadian terpencil, tetapi cerminan nyata kesengsaraan rakyat akibat tekanan kos sara hidup yang semakin mencengkam. ARMADA BERSATU Malaysia melalui kenyataan tersebut menzahirkan rasa simpati terhadap insiden yang berlaku.
Mangsa dipercayai mengalami kecederaan dan kini sedang menerima rawatan di hospital. Namun, lebih mengejutkan apabila ada pihak cuba mencipta naratif palsu cuba mengalihkan perhatian rakyat dengan menuduh bahawa beliau bukan warganegara.
Lebih menyedihkan, keprihatinan rakyat terhadap nasib “Abang Belon” dianggap sebagai permainan politik, seolah-olah penderitaan rakyat bukan isu utama bagi kerajaan.
Ditambah pada kenyataan itu lagi, insiden ini bukan kes pertama. “Pak Cik Petai” dan “Abang Air Mineral” turut menjadi mangsa kezaliman sistem yang menekan golongan miskin. Rakyat semakin terdesak, dipaksa berdepan dengan kos sara hidup yang melambung tanpa ada penyelesaian konkrit daripada kerajaan.
ARMADA BERSATU Malaysia menggesa kerajaan berhenti menutup mata dan bertindak segera dalam menyelesaikan isu kenaikan kos sara hidup yang semakin menekan rakyat.
ARMADA BERSATU Malaysia mendoakan agar “Abang Belon” segera sembuh dan berharap keadilan akan ditegakkan.