Kuala Lumpur, 13 Mei 2025 – Naib Ketua BERSATU Bersekutu Malaysia, Sri Sanjeevan Ramakrishnan, dalam satu kenyataan pedas mendakwa bahawa sama ada Nurul Izzah atau Rafizi Ramli memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR, ia tetap tidak membawa sebarang manfaat kepada masyarakat India.
Menurutnya, kegagalan pemimpin PKR yang kini mengisi jawatan strategik dalam kerajaan, Rafizi sebagai Menteri Ekonomi dan Izzah sebagai Penasihat Menteri Kewangan semakin terserlah apabila nilai ringgit kekal lemah dan indeks rasuah negara tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan.
Sanjeevan turut menyuarakan kekecewaan terhadap layanan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim kepada masyarakat India, yang menurutnya semakin dihimpit kemiskinan dan terus dipinggirkan dari segi ekonomi, pendidikan, sosial, perniagaan serta perumahan.
“Janji tinggal janji. Selepas Anwar menjadi Perdana Menteri, laungan ‘anak India anak saya’ terus lenyap. Kini masyarakat India kekal sebagai golongan yang digunakan semasa pilihan raya dan dibisukan selepasnya,” katanya.
Beliau menggesa masyarakat India untuk membuka mata dan meninggalkan PKR, yang disifatkannya sebagai parti yang gagal memperjuangkan nasib kaum tersebut meskipun mereka menjadi antara penyokong terawal dan terkuat sejak era reformasi.