KUALA LUMPUR, 13 April 2025 — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan keputusan pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru, yang kini mencetuskan kontroversi dalam kalangan penduduk dan masyarakat sivil.
Dalam satu kenyataan media, bekas Perdana Menteri itu menjelaskan bahawa keputusan pengambilan tanah tersebut dibuat mengikut peruntukan di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960, dan tidak melibatkan beliau secara peribadi atau sebagai ketua kerajaan pada waktu itu.
“Keputusan pengambilan tanah tersebut yang dibuat di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak melibatkan saya sebagai Perdana Menteri pada ketika itu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa proses tersebut dijalankan oleh pihak berkuasa tanah Wilayah Persekutuan, di bawah agensi berkaitan mengikut lunas perundangan tanpa campur tangan atau kelulusan khas dari Perdana Menteri pada waktu itu.
Kampung Sungai Baru, yang terletak di kawasan strategik berhampiran ibu kota, telah menjadi perhatian sejak beberapa tahun lalu susulan projek pembangunan semula kawasan tersebut yang didakwa menjejaskan hak dan kediaman penduduk asal.
Mengulas lanjut, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata jika terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap lunas undang-undang dalam proses pengambilan tanah tersebut, pihak yang terjejas boleh membawa perkara tersebut ke mahkamah.
“Mahkamah boleh menentukan hak-hak pihak yang terjejas sekiranya proses pengambilan itu tidak dibuat mengikut undang-undang,” ujarnya.
Isu Kampung Sungai Baru terus menjadi perhatian nasional, mencerminkan ketegangan antara pembangunan bandar dan hak komuniti tradisi di tengah-tengah Kuala Lumpur.