KAMPUNG SUNGAI BARU KECOH, ROMBONGAN YB CIKGU AZMAN TURUN PERTAHAN PENDUDUK DIUSIR

KUALA LUMPUR, 9 April 2025 – Isu pemilikan tanah di Kampung Sungai Baru, terus mencetuskan perhatian apabila beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) turun padang menyatakan solidariti terhadap penduduk yang berdepan tekanan pengambilan tanah bagi projek pembangunan semula kawasan itu.

Rombongan yang diketuai YB Dato’ Azman Nasrudin Ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU atau lebih dikenali sebagai YB Cikgu Azman yang merupakan pengerusi portfolio perumahan bagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional, beliau menegaskan bahawa tanah-tanah berkenaan merupakan tanah bergeran dan mempunyai hak milik sah. Beliau menekankan komitmen untuk membela penduduk yang mahu mempertahankan hak milik tanah warisan. Menurutnya, isu ini akan dibawa ke Parlimen agar tidak berlaku sewenang-wenangnya tindakan oleh mana-mana pihak berkepentingan.

Selebriti dan juga penduduk asal kampung tersebut, Rafidah Ibrahim turut menyuarakan pendirian bahawa perjuangan mereka bukan sekadar soal pampasan. “Kami hendak kekal penduduk asal berada di sini, dan saya yakin sangat kerajaan ada dana untuk cantikkan kampung kami. Isu ini bukan isu pampasan, tapi soal mempertahankan tanah warisan,” katanya. Rafidah turut mempersoalkan peluang perniagaan dan pembangunan yang tidak diberi kepada komuniti asal walaupun tinggal di kawasan strategik ibu kota.

Projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang membabitkan unit rumah teres dan flat mencetuskan polemik sejak 2016, dengan sebahagian besar penduduk bersetuju, namun 37 pemilik teres dan beberapa penduduk flat kekal menolak pampasan yang ditawarkan. Mereka mendakwa ia tidak mencerminkan nilai sebenar pasaran dan mengabaikan nilai sejarah serta sosial kampung tersebut.

Dalam kenyataan sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa projek tersebut adalah hasil rundingan bersama tanpa paksaan, melibatkan pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960). Sebanyak 110 unit terlibat, termasuk 72 unit flat, 37 lot teres dan satu lot pencawang TNB, yang diselesaikan pada Ogos 2023. Pampasan telah diagihkan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) secara berperingkat sejak Februari 2022 hingga Januari 2023.

Namun, tekanan semakin meningkat apabila penduduk flat menerima notis pengosongan berkuatkuasa beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Mereka memaklumkan bahawa notis diterima pada 12 Mac lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memihak kepada mereka, namun rayuan sedang berjalan dan dijangka dibicarakan di Mahkamah Rayuan dalam bulan April.

Isu ini terus membangkitkan persoalan besar: antara keperluan pembangunan dan tanggungjawab memelihara tanah warisan sejarah serta keadilan kepada penduduk asal. Penduduk dan wakil rakyat mendesak agar penyelesaian yang lebih adil dan berperikemanusiaan dirundingkan segera.