ARMADA BERSATU MALAYSIA mengecam keras tindakan Kementerian Pelancongan yang gagal menampilkan elemen Islam dan khazanah masjid yang indah di Malaysia dalam video rasmi pelancaran kempen Visit Malaysia 2026.
Video yang sepatutnya mempromosikan keunikan pelbagai budaya dan warisan Malaysia ini jelas meminggirkan majoriti penduduk negara, iaitu umat Islam, dengan hanya menonjolkan paparan rumah ibadat seperti gereja dan kuil. Ini merupakan satu lagi contoh kecuaian dan kealpaan kementerian dalam menjaga sensitiviti umat Islam, yang sudah beberapa kali berlaku di bawah kepimpinan Menteri yang sama.
Masjid-masjid di Malaysia seperti Masjid Putra di Putrajaya, Masjid Sri Sendayan di Negeri Sembilan, dan Masjid Kristal di Terengganu bukan sahaja lambang keindahan seni bina Islam, malah simbol perpaduan serta keagungan syiar Islam di negara ini. Gagal mengetengahkan masjid sebagai sebahagian daripada khazanah pelancongan bukan sahaja satu penghinaan terhadap warisan Islam, tetapi juga mencerminkan dasar promosi pelancongan yang tidak inklusif dan tidak mencerminkan realiti sebenar masyarakat Malaysia.
ARMADA BERSATU MALAYSIA menuntut Kementerian Pelancongan:
Menarik balik video promosi tersebut dan menghasilkan semula video yang lebih seimbang dengan memasukkan elemen masjid dan keindahan seni bina Islam.
Memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam atas kegagalan menjaga sensitiviti agama terbesar di Malaysia.
Mengkaji semula dasar promosi pelancongan agar lebih inklusif dan mewakili keunikan semua komuniti di Malaysia, termasuk umat Islam.
Kami ingin menegaskan bahawa isu ini tidak hanya melibatkan soal promosi pelancongan, tetapi turut mencabar kesatuan sosial dan keharmonian masyarakat majmuk yang bergantung kepada kepedulian terhadap sensitiviti semua pihak. Kegagalan menangani perkara ini secara serius akan membawa kesan buruk kepada reputasi Kementerian Pelancongan dan imej negara di mata dunia.
Malaysia adalah negara yang kaya dengan pelbagai budaya dan agama, dan keindahan ini hanya dapat dihargai apabila setiap aspek keunikan kita dihormati dan diraikan secara adil dan saksama.
AD ADIB SHAHARUDDIN
EXCO ARMADA BERSATU MALAYSIA
PENGARAH JABATAN KADERISASI & SUMBER DAYA MANUSIA
8 JANUARI 2025