Kenyataan Media Ketua Srikandi Bersatu Malaysia

1. Pada 20 Disember 2024, Srikandi Bersatu Malaysia telah mengadakan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pertama bertempat di Ibu pejabat BERSATU Malaysia. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YB Datuk Wira Mas Ermieyati dan dihadiri oleh semua Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Malaysia, termasuk lantikan baharu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuhkan struktur organisasi dan agenda strategik tahun 2024.
2. Mesyuarat telah melantik Ahli Dewan Negeri yang terdiri daripada Srikandi Bersatu Malaysia sebagai Ahli Jawatankuasa Ex Officio . Pelantikan ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara organisasi dan pentadbiran negeri dalam usaha menangani isu-isu berkaitan wanita.
3. Sebagai langkah memperkemas struktur organisasi, mesyuarat telah bersetuju untuk
mewujudkan portfolio khusus yang dipimpin oleh Ketua Biro masing-masing. Portfolio
tersebut adalah seperti berikut:
• Portfolio UKPS dan Strategi Politik
• Portfolio Komunikasi dan Digital
• Portfolio Jaringan Khidmat Sosial
• Portfolio Latihan dan Pemerkasaan Idealisme
• Portfolio Pembangunan Wanita , Keluarga dan Usahawan
Portfolio ini bertujuan memastikan setiap bidang fokus organisasi ditangani dengan lebih terperinci dan berkesan.   4. Srikandi Bersatu Malaysia juga telah membincangkan beberapa isu yang sangat penting untuk diketengahkan:
Isu Pertama: Antunan Seksual (Sexual Grooming)
Isu antunan seksual semakin membimbangkan dengan peningkatan kes yang melibatkan pemangsaan melalui platform digital dan kes seperti baru-baru ini hubungan seorang guru berumur 37 tahun dengan pelajar lelaki 17 tahun.
Langkah Strategik:
• Kempen “Lindungi Generasi Kita”
Kempen ini akan memfokuskan kepada kesedaran masyarakat tentang bahaya sexual grooming, tanda-tanda awal pemangsaan seksual, dan kaedah pencegahan.   • Pendidikan “Reproductive and Social Health Education” (PEERS)
Skop pendidikan ini perlu diperluaskan dengan kadar segera untuk memasukkan seperti “good touch” ,”bad touch”, paedophilia termasuklah sexual grooming yang sesuai umur perlu diperkenalkan di sekolah rendah dan menengah, melibatkan ibu bapa sebagai sebahagian daripada proses pendidikan. Anak-anak juga perlu diberikan Pendidikan berkenaan hak dan undang-undang termasuklah hukuman untuk kesalahan jenayah seksual khususnya untuk anak-anak di bawah umur (minors)
• Latihan untuk Guru dan Kaunselor Guru dan kaunselor sekolah akan diberikan latihan khas untuk mengenal pasti tanda-tanda awal sexual grooming dan menangani kes ini dengan penuh sensitiviti.   Srikandi Malaysia menggesa Menteri Pendidikan dan pihak Kementerian untuk melakukan langkah intervensi dengan kadar segera (maksudnya sekarang) kerana anak anak kita kini terus menerus terdedah kepada ancaman seperti sexual grooming khususnya secara maya.   Isu Kedua : Keganasan Rumah Tangga
Keganasan rumah tangga kekal sebagai cabaran yang mendesak perhatian segera.
Berdasarkan statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), lebih daripada 6,000 kes telah dilaporkan pada tahun 2023, dengan 83% daripada mangsa adalah wanita.
Langkah Strategik:
• Kempen Kesedaran “Rumahku Syurgaku” Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hak-hak mangsa serta saluran bantuan. Aktiviti seperti forum awam, larian amal, dan program komuniti akan dianjurkan.
• Penguatkuasaan Perundangan dan Perlindungan
Memastikan pelaksanaan mekanisme perlindungan segera untuk mangsa seperti pusat perlindungan sementara dan khidmat kaunseling.
• Pendidikan Awal di Sekolah
Memperkenalkan modul pendidikan di sekolah rendah dan menengah bagi membentuk generasi yang lebih peka dan hormat terhadap wanita.
5. Srikandi Bersatu Malaysia berdiri teguh dengan tekad yang tidak berbelah bahagi untuk memperkasakan wanita, memerangi isu-isu kritikal seperti keganasan rumah tangga dan antunan seksual dengan pendekatan tegas dan tanpa kompromi berkenaan dua issue ini.
6. Kami menyeru semua pihak, termasuk kerajaan, NGO, dan masyarakat, untuk bekerjasama dalam merealisasikan visi ini demi memastikan masa depan yang lebih selamat dan harmoni untuk wanita dan generasi muda.   YB DATUK WIRA MAS ERMIEYATI
KETUA SRIKANDI BERSATU MALAYSIA
20 DISEMBER 2024