AYER KUNING, 24 April – Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham, menyifatkan kerajaan hari ini sebagai “delusional” atau “delulu” ketika menyentuh isu penyasaran subsidi dalam sesi podcast Sembang Lorong Belakang yang berlangsung semalam di hadapan lebih 100 anak muda Ayer Kuning – bakal pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sabtu ini.
“Delulu” merupakan istilah “slang” popular generasi muda yang berasal daripada perkataan “delusional”, membawa maksud berkhayal atau tidak berpijak di bumi nyata.
Ketika ditanya oleh salah seorang penonton anak muda mengenai dasar penyasaran subsidi yang dijangka diperkenalkan selepas PRK ini, Hilman Idham menegaskan bahawa pelaksanaan dasar tersebut wajar ditangguhkan buat masa ini.
“Kerajaan ini ‘delusional’ kerana kaedah penyasaran subsidi yang diumumkan masih tidak jelas. Dalam konteks anak muda generasi Z, ramai yang terlibat dalam ekonomi gig sebagai freelancer – tiada pendapatan tetap, tiada slip gaji, tiada caruman KWSP dan tiada pencen. Bagaimana kerajaan mahu kenal pasti mereka? Yang pasti, mereka antara golongan paling terkesan dengan peningkatan kos sara hidup akibat penyasaran subsidi,” tegas beliau.
Tambahnya, kerajaan juga dilihat tidak jujur dan tidak telus dengan rakyat apabila gagal menjelaskan gambaran sebenar tentang kedudukan ekonomi negara. Beliau mendakwa kerajaan cuba menyampaikan naratif seolah-olah ekonomi dalam keadaan terkawal, sedangkan rakyat di peringkat akar umbi semakin tertekan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Sekarang bukan masa yang sesuai untuk laksana dasar sebegini, katanya. Ditambah pula dengan keadaan ekonomi global tidak menentu – harga barang mentah naik, peningkatan tarif import, dan perang dagang antara kuasa besar.
Sesi podcast bertajuk “Politik & Pilihan Raya: Anak Muda Mahu Apa?” itu berlangsung dengan penyertaan aktif anak muda tempatan dengan keterlibatan mereka dalam mengajukan soalan yang kritis kepada panel.
YB Hilman Idham turut mengesyorkan bahawa program podcast seperti ini merupakan ceramah kelompok versi Generasi Z yang bersesuaian dengan kehendak anak muda.