KUALA LUMPUR, 3 Mei 2025 – Armada BERSATU Malaysia menzahirkan rasa kesal mendalam terhadap kelemahan Kerajaan Persekutuan dalam menangani konflik yang semakin meruncing antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak, berhubung dakwaan kononnya operasi Petronas Carigali Sdn Bhd di Miri Crude Oil Terminal adalah haram.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu ARMADA BERSATU Malaysia, Na’im Brundage, menyifatkan dakwaan Kerajaan Negeri Sarawak itu sebagai tidak berasas dan bercanggah dengan kerangka undang-undang negara, khususnya Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974).
“PDA 1974 dengan jelas memberikan hak eksklusif kepada Petronas untuk mengawal selia segala aktiviti berkaitan petroleum di seluruh negara, termasuk di Sarawak. Maka adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa operasi Petronas adalah haram hanya kerana tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri,” ujar beliau.
Tambah beliau, sejarah perundangan turut membuktikan bahawa pada tahun 1976, Kerajaan Negeri Sarawak sendiri telah menandatangani perjanjian rasmi dengan Kerajaan Persekutuan, yang menyerahkan kawalan dan pemilikan sumber petroleum negeri itu kepada Petronas.
ARMADA BERSATU juga menyelar kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dalam isu ini, yang disifatkan boleh membawa implikasi buruk kepada kestabilan ekonomi serta perpaduan nasional.
“Kelemahan ini bukan sahaja mencemarkan integriti undang-undang negara, malah boleh memberi kesan negatif terhadap keyakinan pelabur dan menjejaskan hasil negara,” tambah Na’im lagi.
Dalam nada tegas, ARMADA BERSATU menggesa agar semua pihak menghormati semangat Persekutuan yang menjadi tunjang pembentukan Malaysia, sambil menegaskan pentingnya kerajaan tampil tegas dalam mempertahankan hak dan kuasa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan.