KERAJAAN MADANI KHIANATI SEMANGAT REFORMASI – Ahmad Anwar Asyraf

MUAR, 30 April 2025 – Kerajaan Madani pimpinan Pakatan Harapan didakwa mengkhianati semangat reformasi yang pernah menjadi asas perjuangan gabungan itu sejak lebih dua dekad lalu. Dakwaan tersebut disuarakan oleh Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Muar, Ahmad Anwar Asyraf, dalam satu hantaran di sosial media hari ini.

Menurut beliau, kerajaan yang dahulunya melaungkan slogan kebebasan bersuara dan hak berhimpun kini didakwa bersikap autokratik, menekan suara rakyat serta mengabaikan prinsip demokrasi yang pernah diperjuangkan.

“Setelah memegang kuasa, kerajaan Madani bukan sahaja gagal mempertahankan prinsip reformasi, malah kini semakin menyerlah sebagai rejim yang menindas,” katanya.

Beliau merujuk kepada laporan Amnesty International 2024/2025 yang mendakwa kerajaan terus menggunakan Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia untuk menyekat kebebasan bersuara serta mengenakan tekanan terhadap aktivis, penulis, seniman dan warganet.

“Ini satu bukti jelas bahawa kerajaan hari ini lebih berminat melindungi kuasa daripada menjunjung hak rakyat,” tambahnya.

Ahmad Anwar turut mengkritik tindakan pihak berkuasa yang didakwanya menekan penganjur perhimpunan aman, termasuk mengenakan intimidasi dan siasatan terhadap mereka yang bersuara secara damai.

“Betapa ironinya apabila pemimpin yang dahulu hidup dari semangat jalanan kini menjadi penindas kepada rakyat yang hanya mengikut jejak langkah mereka dahulu,” katanya lagi.

Mengakhiri kenyataannya, beliau menyifatkan kegagalan kerajaan Madani mempertahankan agenda reformasi sebagai satu pengkhianatan moral yang tidak akan dilupakan rakyat.

“Rakyat tidak lupa. Dan rakyat tidak akan diam,” tegasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *