KERAJAAN PERLU UMUM MORATORIUM AKTA ZALIM – WAN SAIFUL WAN JAN

Dalam merasmikan pelancaran “Media Law Reform Blueprint” yang dihasilkan oleh Centre for Law and Democracy, Yang Berhormat Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelugor yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menyeru supaya kerajaan mengumumkan moratorium terhadap klausa-klausa zalim yang ada dalam undang-undang berkaitan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang kerajaan sendiri kata mereka mahu pinda.

Ini terutamanya bagi klausa-klausa zalim dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia, dan Akta Hasutan. Wan Saiful Wan Jan menegaskan secara logiknya, jika kerajaan sudah tahu klausa mana yang mereka mahu pinda, itu bermaksud kerajaan sendiri sudah sedar bahawa klausa-klausa itu tidak baik. Maka jika ia sudah diketahui tidak baik, kerajaan perlu berhenti menggunakannya untuk menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan media di Malaysia.

Katanya lagi, kerajaan mesti umumkan moratorium sekarang, sehinggalah semua klausa yang berkaitan dipinda atau dimansuhkan. Beliau juga menambah, kerajaan ini suka menyalahkan kerajaan terdahulu untuk lari dari tanggungjawab hari ini. Dalam hal ini, kerajaan jangan berhelah lagi dengan menyalahkan orang lain. Jika mahu buat, buat lah. Jangan bagi pelbagai alasan.

Dalam ucapan perasmian tadi, Wan Saiful Wan Jan juga menyeru supaya kerjasama lebih erat dibina antara kerajaan, masyarakat sivil, organisasi media, dan pembangkang dalam mereformasi undang-undang dan peraturan berkaitan media di Malaysia.

Laporan penuh yang pelancaran “Media Law Reform Blueprint” yang dihasilkan oleh Centre for Law and Democracy, boleh dicapai dari “Malaysia: Media Law Reform Blueprint, Januari 2025”.