KUALA LUMPUR, 16 April 2025 — Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menegaskan bahawa penahanan Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mempunyai kaitan dengan BERSATU atau Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu kenyataan semalam, Tun Faisal berkata bahawa laporan bertajuk “SPRM tahan Timbalan Ketua Penerangan BERSATU atas dakwaan rasuah” adalah tidak tepat dan tidak menggambarkan konteks sebenar kes tersebut.
“Individu yang ditahan ialah Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara dan Bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu. Kes yang dikaitkan dengannya membabitkan pemberian konsesi antara tahun 2021 hingga 2023, iaitu ketika Melaka ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional dan dipimpin oleh Ketua Menteri daripada UMNO,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat daripada peguam yang mewakili Datuk Seri Ali, segala urusan konsesi tersebut berlaku ketika beliau masih bersama UMNO dan tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan negeri atau Persekutuan.
“Ketika itu, beliau juga masih merupakan Ketua Bahagian UMNO dan bukan sebahagian daripada kerajaan negeri yang membuat keputusan berkaitan urusan konsesi,” jelasnya.
Tun Faisal turut mempersoalkan mengapa tindakan hanya diambil sekarang, dan bukannya ketika Datuk Seri Ali masih bersama UMNO dan di bawah pemerintahan kerajaan PH-BN antara 2021 hingga 2023.
“Adakah ini satu bentuk pendakwaan terpilih terhadap pembangkang? Atau pendakwaan ke atas bekas pemimpin UMNO yang sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap Ketua Menteri dan kerajaan negeri Melaka?” soalnya.
Tambah beliau, isu ini merupakan konflik antara bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dengan pentadbiran negeri Melaka, dan tidak ada sebarang penglibatan daripada BERSATU mahupun Perikatan Nasional dalam pemberian konsesi tersebut.
“BERSATU atau PN langsung tidak terlibat dalam urusan konsesi antara 2021 hingga 2023. Ini berlaku sepenuhnya dalam era pemerintahan UMNO,” katanya mengakhiri kenyataan.