KES YUSOFF RAWTHER; HAMZAH ZAINUDIN YAKIN WUJUD KONSPIRASI DAN PENGANIAYAAN, “KITA TIDAK MAHU SEJARAH SALAH GUNA KUASA BERULANG”

KUALA LUMPUR, 13 Jun 2025 – Timbalan Presiden BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin semalam mengeluarkan kenyataan menyambut baik keputusan mahkamah yang membebaskan Yusoff Rawther daripada tuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api tiruan.

Dalam satu kenyataan rasmi, Hamzah menyatakan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pembebasan Yusoff, seorang anak muda yang didakwanya menjadi mangsa aniaya dan dizalimi dalam pertuduhan tersebut.

Yusoff Rawther, menurut YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, telah ditahan reman selama 9 bulan dan 10 hari tanpa diberi peluang untuk ikat jamin, malah ditempatkan di blok banduan akhir walaupun beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan.

“Bayangkan jika ini terjadi kepada anak atau keluarga kita,” ujarnya sambil mempersoalkan nasib yang mungkin menimpa Yusoff sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa dan menegaskan bahawa terdapat unsur konspirasi dalam pendakwaan terhadap Yusoff.

“Saya bersama Yusoff Rawther yakin wujudnya konspirasi dan penganiayaan dalam pertuduhan ini,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat agar bangkit menuntut keadilan dan memastikan pihak yang menjadi dalang dalam kes ini dihadapkan ke muka pengadilan, serta merakamkan penghargaan kepada pasukan pembelaan yang diketuai oleh peguam terkenal, Muhammad Rafique Rashid Ali bersama Datuk Seri Takiyuddin Hasan dan Nurmustanir Md Nor atas usaha gigih mereka dalam menegakkan keadilan.

“Kita tidak mahu sejarah penyalahgunaan kuasa berulang kembali,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *