KETIDAKTENTUAN EKONOMI; APA JADI PADA PADU? MENTERI PULA BERCUTI

KUALA LUMPUR, 5 Mei – Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Datuk Dr. Radzi Jidin hari ini membidas kelewatan kerajaan memberikan penjelasan mengenai pelaksanaan subsidi bersasar serta impak tarif timbal balik Amerika Syarikat ke atas ekonomi negara.

Dalam perbahasan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkenaan tarif perdagangan AS, YB Datuk Dr Radzi Jidin yang juga Ahli Parlimen Putrajaya mempersoalkan keberkesanan pelaksanaan sistem data PADU yang dilancarkan pada 2 Januari 2024, namun sehingga kini masih belum memperlihatkan hasil penggunaannya.

“Rakyat diminta isi maklumat dalam PADU hingga 31 Mac 2024. Tiga belas bulan telah berlalu, tetapi definisi T15 pun masih belum ada,” tegasnya. 

Semasa pembentangan belanjawan pada Oktober 2024, Menteri Kewangan mengumumkan bahawa subsidi bersasar akan dilaksanakan pada pertengahan tahun 2025 dan memberi jaminan bahawa 85% rakyat tidak akan terkesan, cuma 15% sahaja yang akan terkesan iaitu golongan T15. 

“kami di sebelah sini bertanya, setiap kali sidang duk tanya soalan sama, siapakah yang dikatakan T 15 ini?” Beliau mempersoalkan ketiadaan penjelasan berhubung kumpulan “T15”, iaitu golongan 15 peratus rakyat yang dikatakan bakal terkesan dengan pelaksanaan subsidi bersasar yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2024.

“Menteri Ekonomi kata penjelasan akan diberi pada suku pertama 2025. Sekarang kita dah masuk bulan kedua suku kedua 2025 dan Menteri Ekonomi sedang bercuti. Mana nak tunggu sebulan lagi baru nak faham apakah itu T15?” soal beliau.

Datuk Dr. Radzi turut mengingatkan bahawa semasa pengurusan krisis COVID-19, para menteri menunjukkan komitmen tinggi termasuk bermesyuarat harian dan hanya bercuti sehari sahaja pada Aidilfitri. Beliau menyeru kerajaan hari ini agar menunjukkan komitmen yang sama dalam menghadapi cabaran semasa, khususnya berkaitan tarif dan subsidi.

Beliau menegaskan, ketidaktentuan ini bukan sahaja mengundang kebimbangan dalam kalangan rakyat, malah boleh menjejaskan keyakinan industri terhadap dasar kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *