[Kolumnis] Muhyiddin Yang Dizalimi

Siri 1, Oleh: Daud Ibrahim

SEBENARNYA saya dah lama nak menulis hal ini, tetapi saya serba salah.

Pertama, mungkin ada yang tak suka.

Mungkin juga ada yang beranggapan saya taksub.

Tapi, kalau ada fakta yang saya ketengahkan tidak betul, mohon diperbetulkan.

Saya tidak menulis secara terperinci, hanya sekali lalu, saya mesti mengambil pendirian, untuk mencatatkan sebagai bahan sejarah suatu masa nanti.

Kenapa saya memilih tajuk ‘Muhyiddin Yang Dizalimi’ sebagai tajuk posting hari ini?

Sebabnya, Umno yang suatu ketika dahulu dianggap keramat oleh mereka yang taksub kepada parti itu, akhirnya rebah ke bumi apabila mereka menzalimi Muhyiddin.

Umno pernah ‘bermasalah’ dengan Musa Hitam, tetapi Umno tetap menang pilihan raya.

Umno pernah bermasalah dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Umno menang juga. Umno hilang Ghafar Baba, Umno masih gagah.

Umno singkir Anwar Ibrahim, Umno teguh berdiri.

Namun, apabila Umno pecat Muhyiddin, Umno dari sebuah parti dominan, akhirnya menjadi pembangkang dan tersembam ke bumi.

Maaf cakap, Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan Umno, pun Umno seolah tidak terkesan.

Bukan sedikit yang mentertawakan Muhyiddin apabila dia nak tubuhkan Bersatu.

Pelbagai halangan dikenakan termasuk perkataan Bersatu dilarang untuk didaftarkan.

Akhirnya, Umno yang begitu dipuja dan kononnya sebuah parti keramat tidak lagi menjadi parti yang digeruni.

Malahan, berkumpullah para pembohong kini di dalam Umno untuk menagih talian hayat bagi meneruskan ‘nyawa politiknya’.

Mengapa Muhyiddin?

Padahal, Muhyiddin bukan anak seorang PM.

Muhyiddin bukan bekas Presiden ABIM. Muhyiddin bukanlah datangnya dari golongan bangsawan.

Dalam Umno pun, Muhyiddin bukanlah orang yang sentiasa menang kalau bertanding.

Biasa kalah, biasa menang, biasa kalah lagi dan biasa menang lagi.

Bila beliau menjadi Presiden Bersatu yang pertama, mereka yang bertindak menentangnya juga hanyut begitu sahaja.

Tun Dr Mahathir yang belum pernah kalah bertanding Parlimen, kalah selepas bertelagah dengan Muhyiddin.

Dr Maszlee Malik yang dikatakan “marahkan” Muhyiddin, tewas apabila bertanding atas tiket PH.

Mukhriz Mahathir, Marzuki Yahya, Ir Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) juga ‘hilang’ apabila meninggalkan Muhyiddin.

Yang lebih penting, mereka yang sebaya dengan Muhyiddin, sama-sama memulakan karier politik juga kini berada di pinggiran sedangkan Muhyiddin masih gagah di situ.

Ini semua cerita sampingan.

Berita kaki sahaja.

Yang penting dicatatkan ialah “selepas Umno” bertindak zalim memecat Muhyiddin, Presiden Umno yang selamanya menjadi PM di Malaysia, hilang status itu, kini.

Hari ini, kalau ada budak-budak hingusan dalam Bersatu bertindak meninggalkan Bersatu, kerana berkecil hati dengan Muhyiddin, janganlah mereka mengalami nasib seperti nasib Umno yang ‘menzalimi’ Muhyiddin.

Nescaya hanyutlah nanti mereka itu, bersama-sama sampah di sungai sebelum ke laut.

Umno yang dianggap keramat pun rebah, siapalah Maszlee Malik, Faiz Naaman dan Mohd Rafiq Naizamohideen jika mereka mahu melawan Muhyiddin.