Saya mengenali Tan Sri Muhyiddin sejak sekian lama. Saya telah berkhidmat secara tidak langsung dengan Tan Sri Muhyiddin ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan sekitar tahun 1996. Pada waktu itu saya masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan menjadi intern penyelidik di Pusat Kajian Kepimpinan dan Pembangunan (CELDES).
Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang merupakan CEO CELDES pada waktu itu menugaskan saya untuk menyediakan ucapan-ucapan Tan Sri Muhyiddin yang berkaitan dengan pembangunan belia.
Saya masih ingat apabila ada keperluan untuk menyediakan ucapan, Setiausaha Akhbar Tan Sri Muhyiddin akan datang ke pejabat saya di Petaling Jaya untuk menyerahkan bahan-bahan ucapan.
Saya kemudiannya akan menyediakakan deraf ucapan dan mencetaknya sebelum saya hantar ke rumah Tan Sri di Bangsar. Itu antara rutin tugas saya.
Di situ lah titik mula hubungan saya dengan Tan Sri Muhyiddin.
Kemudian tercetus Reformasi 1998. Tan Sri Muhyiddin antara kawan rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Team Wawasan UMNO. Beliau adalah satu-satunya Menteri kabinet yang menziarahi Anwar di kediaman rasminya di Bukit Persekutuan pada malam Anwar dipecat dari kabinet. Saya bersama rakan-rakan yang lain turut berada di kediaman Anwar pada malam itu.
Apabila ditanya kenapa Tan Sri menziarahi Anwar sedangkan Anwar sedang berkrisis dengan (Tun) Mahathir? Beliau jawab (Tun) Mahathir adalah ketuanya, dan Anwar adalah sahabatnya. Tidak salah untuk dia ziarah.
Ramai yang menjangka Tan Sri Muhyiddin akan menyertai gerakan reformasi Anwar. Tetapi tidak. Belia terus setia dengan UMNO.
CELDES tempat saya bekerja menjadi sasaran. Dr Zambry ditahan ISA. Beberapa orang rakan saya juga ditahan ISA. Saya menyertai gerakan reformasi.
Pada masa itulah saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Keadilan Nasional yang baru ditubuhkan. Saya bertugas di bawah seliaan Setiausaha Agung keADILan yang pertama, Tuan Haji Mohd Anuar Tahir (beliau kemudiannya menjadi Setiausaha Agung AMANAH dan Ahli Parlimen Temerloh).
Ketika itu hubungan saya dengan Tan Sri Muhyiddin “terputus”. Saya dalam keADILan dan beliau dalam UMNO.
Hubungan saya dengan Tan Sri Muhyiddin bertaut kembali pada tahun 2009. Pada ketika itu saya tidak lagi aktif dalam keADILan yang telah bertukar namanya kepada PKR. Tan Sri Muhyiddin pula baru dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada suatu hari Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Mohd Sukor Manan, menghubungi saya melalui telefon. Beliau meminta saya menghantar CV kepadanya. Saya tanya “Untuk apa En Sukor?” (ketika itu beliau belum dianugerah gelaran Datuk). Beliau jawab, “Hantar sajalah”.
Selang beberapa hari, Datuk Sukor menelefon saya dan mengarahkan saya untuk melapor diri di Pejabat TPM di Putrajaya. Rupanya Tan Sri Muhyiddin telah bersetuju untuk melantik saya sebagai Pegawai Khas beliau.
Saya pun melapor diri. (Saya pada ketika itu adalah Penolong Professor di UIA dan berkhidmat secara pinjaman di Pejabat TPM).
Tugas saya yang pertama ialah menyediakan ucapan Tan Sri Muhyiddin di upacara sambutan Hari Guru 2009 yang diadakan di Kuala Terengganu. Deraf awal disediakan oleh pegawai Kementerian Pendidikan. Saya teliti teks dan berbincang dengan Tan Sri Muhyiddin untuk dimasukkan perkara-perkara yang beliau ingin sentuh.
Pada hari majlis diadakan, saya mengiringi Tan Sri Muhyiddin ke Kuala Terengganu. Kami menaiki pesawat khas kerajaan dari TUDM Subang. Dalam pesawat saya duduk berhadapan dengan Tan Sri Muhyiddin.
Sepanjang lebih kurang satu jam penerbangan, Tan Sri Muhyiddin yang banyak bercakap. Beliau banyak menyentuh mengenai dasar pendidikan negara dan visi beliau untuk meningkatkan kualiti pendidikan.
Sebagai pegawai yang masih ‘junior’, saya cuma menokok tambah sedikit sebanyak untuk menyambung perbualan. Rasa kekok pun ada juga.
Tetapi itulah Tan Sri Muhyiddin, walaupun saya pegawai yang masih ‘junior’ beliau tidak kekok sedikitpun untuk berkongsi idea dan pandangannya dengan saya.
Terus saya rasakan ada beban besar di bahu saya. Berkhidmat dengan Tan Sri Muhyiddin tak boleh main-main. I must know my stuff. Saya tak boleh silap.
Beliau adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri yang membuat dasar negara. Kalau saya silap menyampaikan maklumat atau pandangan, kesilapan saya akan memberi kesan yang besar kepada dasar yang digubal atau keputusan yang dibuat.
Dari hari itu, saya lebih berhati-hati. Baik dalam menyediakan ucapan atau memberi taklimat mengenai sesuatu isu. Saya mesti pastikan semua faktanya tepat. Saya mesti pastikan apa yang diucapkan oleh Tan Sri Muhyiddin adalah selari dengan dasar kerajaan. Tak boleh silap. Sebab setiap apa yang keluar dari mulut beliau adalah dasar.
Saya beruntung kerana Tan Sri Muhyiddin adalah seorang Menteri yang berpengalaman dan beliau juga amat berhati-hati dalam berucap atau membuat keputusan. Setiap kali saya menyerahkan deraf ucapan kepadanya, beliau akan tanya saya, “Dah Semak dengan KSU?” atau “Dah semak dengan Ketua Pengarah?”. Itu ayat standard yang akan keluar dari mulutnya.
Jadi untuk mengelakkan saya buat silap, saya buat SOP sendiri. Setiap deraf ucapan yang dihantar ke pejabat saya mesti di “sign-off” oleh KSU atau KP. Barulah saya akan bawa bincang dengan Tan Sri Muhyiddin.
Sebab itulah sepanjang saya berkhidmat dengan Tan Sri Muhyiddin seingat saya tidak pernah berlaku insiden Menteri “tersalah cakap”. Atau Menteri membuat kenyataan “separuh masak”.
Tidak. Tidak pernah berlaku. Beliau tidak akan mengumumkan sesuatu perkara sehingga kajian terperinci telah selesai dibuat, dibincang dan diputuskan di peringkat kementerian atau kabinet.
Bukan cara beliau mengumumkan sesuatu perkara semata-mata untuk skor “brownie points” politik.
Ya, beliau seorang ahli politik. Tetapi beliau juga seorang pentadbir-teknokrat. He is a technocrat-beaureucrat politician.
Oleh; Datuk Dr. Marzuki Mohamad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia