KONSENSUS NASIONAL BAHARU JAWAPAN KESTABILAN POLITIK, PENGUKUHAN EKONOMI, PERPADUAN KAUM – HAMZAH ZAINUDIN

SINGAPURA – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa Perikatan Nasional (PN) bersedia mengambil alih tampuk pemerintahan negara dengan menawarkan pendekatan yang lebih serius, berstruktur dan berasaskan prinsip dalam menangani cabaran ekonomi serta politik negara.

Dalam ucaptama bertajuk “Pandangan Menyeluruh Terhadap Landskap Politik Malaysia: Membina Konsensus Nasional Baharu” anjuran ISEAS – Institut Yusuf Ishak, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin membentangkan agenda pembentukan Konsensus Nasional Baharu demi menjamin kestabilan dan kemakmuran jangka panjang Malaysia.

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menekankan bahawa ekonomi Malaysia memerlukan rejuvenasi menyeluruh dan berani, termasuk menstruktur semula keutamaan nasional, melaksanakan tanggungjawab fiskal, mematuhi disiplin polisi, serta memperluas hasil negara melalui sumber baharu seperti tenaga boleh diperbaharui dan mineral nadir bumi.

Antara langkah yang diketengahkan adalah:

• Menyusun semula sistem percukaian dan menghapuskan ketirisan.

• Mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui automasi dan latihan teknikal.

• Meningkatkan keselamatan makanan negara dengan memperkasakan agropreneur muda.

• Meningkatkan kedudukan Malaysia dalam “Ease of Doing Business” ke tangga 10 teratas.

Menyentuh aspek politik, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyeru agar negara melalui satu “reset politik” dengan memilih pemimpin yang jujur, inklusif dan adil. YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin memperkenalkan agenda Konsensus Nasional Baharu berasaskan tiga tiang utama:

1. Matlamat bersama – Membina negara melangkaui kepartian.

2. Kemakmuran bersama – Menyatupadukan masyarakat berbilang kaum.

3. Tadbir Urus Penuh Ihsan – Mewujudkan kerajaan yang prihatin dan bermaruah.

“Malaysia bukan negara gagal. Tapi Malaysia perlukan pembetulan institusi, daya tahan ekonomi dan perpaduan sosial. Kita tidak boleh terus kehilangan bakat dan keyakinan rakyat sendiri,” katanya mengakhiri ucapan.

Beliau menegaskan bahawa PN menawarkan alternatif yang berasas kepada dasar dan nilai, bukan semata-mata slogan kosong atau gimik politik. Tegasnya lagi, “Kita akan baiki ekonomi. Kita akan baiki politik. Dan lebih penting — kita akan bentuk masa depan negara. Malaysia yang lebih baik bukan sekadar impian, tetapi satu komitmen”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *