IPOH, 18 April 2025 – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, YB Syed Lukman Hakim Bin Syed Mohd Zin hari ini menggesa Kerajaan Negeri Perak untuk memperkenalkan lebih banyak program rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat negeri ini.
Syed Lukman, 28, yang juga Ketua ARMADA BERSATU Negeri Perak ketika membahaskan titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Dewan Negeri Perak, menekankan bahawa kerajaan tidak perlu gentar untuk berbelanja demi kepentingan rakyat, lebih-lebih lagi ketika negeri mencatatkan lebihan (surplus) kewangan selama tiga tahun berturut-turut.
“Surplus ini bukan sekadar angka yang perlu dibanggakan, tetapi perlu diterjemah kepada manfaat terus kepada rakyat,” tegasnya.
Beliau turut mencadangkan agar sasaran 20,000 penerima Kad Perak Sejahtera dapat dicapai segera. Kad tersebut, yang dahulunya dikenali sebagai Kad Perak Prihatin dan diperkenalkan pada 2019 oleh Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu yang merupakan Menteri Besar Perak pada waktu itu telah terbukti efektif dalam menangani isu kebajikan dan merangsang ekonomi setempat.
Dalam aspek pendidikan, Syed Lukman menggesa kerajaan negeri memperluaskan bantuan dengan menambah jumlah biasiswa dan pinjaman boleh ubah. Ini termasuk menambah baik program sedia ada seperti Insentif Siswa Yayasan Perak (INSISYP), Bantuan Khas Pendidikan Perak, dan Tabung Simpanan Anak Perak — semuanya penting untuk menyokong pelajar Perak ke peringkat pengajian tinggi dan institusi kemahiran.
Gesaan ini dilihat selari dengan harapan rakyat agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dan inklusif dalam memastikan kesejahteraan serta kelangsungan ekonomi rakyat terus terjamin, khususnya dalam keadaan ekonomi yang masih mencabar.