KRISIS PEMBERHENTIAN 5,000 PEKERJA PETRONAS; HILMAN IDHAM GESA MENTERI KEWANGAN TERBAIK ASIA TAHUN 1996 TEROKA SUMBER PENDAPATAN BARU UNTUK NEGARA 

KUALA LUMPUR, 12 JUN 2025 – Ketua Armada BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham hari ini menyuarakan kebimbangan serius berhubung laporan pemberhentian 5,000 pekerja Petronas. Dalam satu hantaran video yang dimuat naik ke media sosial, beliau menyifatkan langkah itu sebagai tidak wajar dan memberi kesan besar bukan setakat hanya kepada 5,000 individu malah akan memberi kesan kepada 5,000 keluarga.

“Kita digemparkan dengan isu 5,000 pekerja Petronas yang bakal diberhentikan. Saya melihat isu ini adalah isu yang serius, tak kiralah sama ada pekerja itu pekerja kontrak ataupun tetap – ianya tetap serius,” tegas beliau.

Menurut YB Hilman Idham, isu ini perlu dilihat melalui dua dimensi utama. Pertama, beliau mempersoalkan keutamaan kerajaan dalam memastikan kelangsungan pembayaran dividen Petronas, yang menurutnya tidak sepatutnya mengatasi kebajikan ribuan pekerja yang berisiko kehilangan mata pencarian.

“Apakah kelangsungan pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan itu lebih besar pentingnya berbanding kelangsungan 5,000 pekerja Petronas yang bakal diberhentikan?”, soal beliau.

Dimensi kedua, ujar beliau, ialah kebergantungan berterusan kerajaan terhadap Petronas sebagai sumber utama pendapatan negara. YB Hilman Idham mempertikaikan peranan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, yang menurutnya gagal merangka strategi ekonomi baharu sejak sekian lama.

“Apakah Perdana Menteri Madani ini, yang konon-kononnya Menteri Kewangan terbaik Asia, tak mampu cari sumber pendapatan lain untuk negara? Atau memang hanya terbaik pada tahun 1996 sahaja?”

Beliau menggesa kerajaan agar segera melaksanakan pelan ekonomi jangka panjang yang mampan dan tidak terlalu bergantung kepada hasil Petronas semata-mata, apatah lagi jika ia membawa kepada pemberhentian besar-besaran kakitangan syarikat nasional tersebut.

“Takkanlah dari tahun 1990-an kita masih bergantung kepada pendapatan Petronas. Kita boleh mengurangkan beban dividen kepada kerajaan tanpa perlu mengorbankan ribuan pekerjaan,” tambahnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *