NILAI, 9 Mac – Majlis Ramadhan Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan berlangsung di Nilai hari ini dengan kehadiran pemimpin tertinggi parti. Perjumpaan itu turut dihadiri oleh Presiden Pengasas BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden BERSATU, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Setiausaha Agung BERSATU, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, serta barisan kepimpinan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU.
Turut hadir dalam sesi pertemuan itu ialah Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail, Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan, YB Hanifah Abu Bakar, serta Naib Ketua BERSATU Bersekutu, Sri Sanjeevan Ramakrishnan. Kehadiran mereka mencerminkan kesepaduan kepimpinan parti dalam memperkukuhkan sokongan di peringkat negeri.
Selepas sesi taklimat dalam perjumpaan antara Badan Pimpinan Negeri Sembilan dengan Pimpinan Tertinggi Parti BERSATU, para pimpinan turut menghadiri Majlis Iftar bersama kepimpinan dan ahli BERSATU Negeri Sembilan. Majlis berbuka puasa ini bukan sahaja mempereratkan hubungan antara pemimpin dan ahli parti tetapi juga menjadi platform untuk berbincang mengenai strategi menghadapi pilihan raya akan datang.
Dalam program tersebut, satu acara penyerahan borang ahli baharu Bersekutu BERSATU turut diadakan. Pemimpin parti dimaklumkan bahawa ahli baharu ini terdiri daripada bekas ahli dan pimpinan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memilih untuk menyertai BERSATU. Penyertaan mereka dianggap sebagai satu perkembangan positif bagi parti dalam memperkukuh kedudukan di negeri itu.
Pemimpin BERSATU berharap agar usaha parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang dipermudah dan diberkati. Mereka juga berdoa agar kemenangan berpihak kepada BERSATU, sekali gus membawa perubahan yang lebih baik kepada rakyat.