KUALA LUMPUR, 17 April 2025 – Tindakan akhbar harian berbahasa Cina, Sin Chew Daily, yang menyiarkan ilustrasi grafik Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit di muka hadapannya telah mencetuskan kemarahan pelbagai pihak yang menganggap perkara itu sebagai satu penghinaan terhadap simbol kebangsaan negara.
Memetik satu hantaran di media sosial oleh Datuk Dr Marzuki Mohamad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Institut Masa Depan Malaysia, “bulan sabit melambangkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan”.
Tambahnya lagi, permohonan maaf sahaja tidak mencukup dan tindakan yang lebih tegas perlu disusuli. “Maaf tu satu hal. Tapi sekurang-kurangnya gantunglah lesennya selama 6 bulan”.
Beliau turut mengingatkan bahawa isu yang melibatkan simbol kenegaraan tidak boleh dianggap remeh, dan kerajaan perlu bertindak tanpa pilih kasih agar ia menjadi pengajaran kepada semua pihak.
ARMADA BERSATU Malaysia dalam satu kenyataan lain mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai kecuaian melampau yang tidak sepatutnya berlaku, lebih-lebih lagi oleh sebuah akhbar berpengaruh dan berpengalaman seperti Sin Chew Daily. “Bulan sabit pada Jalur Gemilang melambangkan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara. Pengguguran lambang ini, sama ada disengajakan atau tidak, adalah satu penghinaan yang tidak boleh dipandang ringan,” kata Pengarah Jabatan Komunikasi & Media Baharu ARMADA BERSATU, Na’im Brundage.
Menurutnya lagi, adalah tidak munasabah kesilapan sebesar ini berlaku memandangkan proses editorial melibatkan pelbagai tapisan dan semakan oleh editor kanan sebelum bahan dicetak dan diterbitkan kepada umum. Walaupun pihak Sin Chew telah memohon maaf atas kesilapan itu, ARMADA BERSATU berpendapat permohonan maaf sahaja tidak mencukupi dan mendesak siasatan segera dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta undang-undang lain yang relevan.
Dalam kenyataan berasingan, Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal turut meluahkan kekecewaan terhadap insiden berkenaan. Beliau merujuk kepada laporan Sin Chew Daily bertarikh 15 April 2025 yang memaparkan ilustrasi kapal dengan bendera Malaysia dan China, namun Jalur Gemilang dipaparkan tanpa bulan sabit berwarna kuning.
“Tindakan ini jelas melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya sambil menggesa Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Komunikasi mengambil tindakan tegas terhadap penerbitan itu.
Kedua-dua pihak menuntut agar kerajaan tidak memandang ringan perkara ini serta mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan maruah agama dan negara terus dipertahankan.