Merujuk kenyataan media Muhammad Hakim, Naib Presiden Mahasiswa United : “Tuntutan Mahasiswa Bersatu demi Masa Depan yang Lebih Baik”
Siswa Bersatu ingin menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur Himpunan Rakyat Benci Rasuah yang telah berlangsung dengan cemerlang pada dua hari yang lalu. Kami amat berbangga dengan ketumbukan dan semangat mahasiswa serta rakyat sejagat yang bersatu hati, menunjukkan ekspresi kebencian terhadap rasuah, serta menegaskan betapa pentingnya integriti dalam sistem pentadbiran negara. Sungguh, tindakan mahasiswa ini adalah cerminan kebijakan mereka dalam menilai dan memperjuangkan sebuah negara yang bebas daripada korupsi.
Namun, meskipun ada usaha keras daripada pihak kerajaan untuk menghalang kebebasan bersuara ini, mahasiswa telah membuktikan keteguhan prinsip mereka. Halangan ini hanya mengukuhkan iltizam kami untuk terus berjuang, bukan sahaja untuk keadilan, tetapi juga untuk kesejahteraan rakyat. Ketika suara rakyat ditekan, suara mahasiswa tidak akan pernah padam.
Selaras dengan tiga tuntutan utama yang digariskan dalam himpunan tersebut, Siswa Bersatu juga ingin mengemukakan empat tuntutan tambahan yang amat relevan dalam menghadapi cabaran ekonomi dan sosial semasa, yang semakin membebani mahasiswa. Kami percaya bahawa ini adalah langkah-langkah yang tidak hanya wajar didengar, tetapi perlu dilaksanakan untuk menjamin masa depan yang lebih cerah buat generasi akan datang.
1. Pendidikan Percuma dan Penghapusan Pinjaman Pendidikan.
Pendidikan adalah asas pembentukan generasi pemimpin masa depan. Kami mendesak kerajaan untuk mengkaji semula pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi, seperti yang pernah diusulkan oleh Pakatan Harapan. Akses kepada pendidikan seharusnya tidak terbatas oleh status ekonomi. Keprihatinan terhadap masa depan graduan perlu diterjemahkan dengan menghapuskan hutang PTPTN secara berperingkat, sekali gus memberikan mahasiswa ruang untuk membina masa depan yang lebih stabil tanpa dibebani hutang.
2. Kos Sara Hidup yang Meningkat Menekan Mahasiswa dan Rakyat.
Kos sara hidup yang semakin tinggi adalah punca utama tekanan yang dihadapi oleh mahasiswa. Laporan pada Oktober 2023 menunjukkan bahawa lebih 500,000 mahasiswa terpaksa menanggung peningkatan kos sara hidup sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan, terutama dengan kenaikan harga makanan dan pengangkutan. Walaupun kadar inflasi turun kepada 1.8% pada September 2024, tekanan kos hidup masih terasa. Kami mendesak kerajaan untuk segera mengambil langkah dalam mengawal inflasi dan memastikan keperluan asas kekal mampu milik.
3. Peluang Pekerjaan dan Kebajikan Pekerja Ekonomi Gig.
Sektor pekerjaan yang tidak stabil, khususnya dalam ekonomi gig, terus menjadi pilihan utama bagi graduan universiti. Lebih 30% pelajar kini bergantung kepada ekonomi gig untuk menyara kehidupan, namun mereka sering kali tidak dilindungi dengan jaminan pendapatan atau perlindungan kebajikan seperti KWSP dan insurans. Kerajaan perlu memastikan peluang pekerjaan yang lebih stabil dan berkualiti dapat diwujudkan, selain memperkenalkan dasar yang menguatkan perlindungan pekerja gig. Mahasiswa berhak untuk menikmati masa depan yang lebih terjamin.
4. Harga Minyak dan Subsidi: Janji Tinggal Janji?
Harga minyak terus menjadi beban kepada rakyat, termasuk mahasiswa yang sedang bergelut dengan kos kehidupan yang semakin tinggi. Seperti mana janji manis yang pernah dilafazkan oleh salah seorang pimpinan daripada kerajaan hari ini untuk menurunkan harga minyak dan mengekalkan subsidi, kini ia hanya sekadar omongan kosong. Adakah ini hanya lagi satu “janji pilihan raya” yang dilupakan selepas mandat diperoleh? Kami mendesak kerajaan untuk menunaikan janji mereka, dan bukan sekadar mengeluarkan alasan semata-mata.
Siswa Bersatu menyeru agar seluruh mahasiswa dan rakyat bangkit, bukan sekadar untuk menuntut janji yang ditinggalkan di jalanan, tetapi untuk memastikan kerajaan menunaikan komitmen mereka dengan tindakan yang konsisten. Jangan biarkan perjuangan ini dirampas oleh politik sempit yang mementingkan kepentingan individu. Himpunan ini adalah milik rakyat, dan kami akan terus memperjuangkan suara yang tidak pernah padam, demi keadilan dan kemakmuran bersama.
Muhammad Hakim Bin Mohd Helmy
Naib Presiden
Mahasiswa United