[KOLUMNIS] HEGEMONI POLITIK MELAYU, Oleh: Datuk Dr. Marzuki Mohamad, Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia
Seorang sarjana Itali, Antonio Gramsci, menjelaskan konsep hegemoni. Ia merupakan satu bentuk dominasi yang bukan dilakukan secara paksa ke atas orang yang didominasi, tetapi diperolehi secara sukarela daripada orang itu. Bagi Gramsci inilah bentuk dominasi yang paling kuat dan utuh.
Hegemoni ini biasanya dilakukan oleh elit penguasa dengan menggunakan institusi negara, media dan masyarakat madani (civil society) dengan tujuan untuk mengekalkan kuasa. Naratif hegemoni diperkukuhkan oleh sekelompok manusia yang dinamakan “organic intellectuals”.
Berbeza dengan “traditional intellectuals” yang berada di puncak menara gading dan hasil karya mereka terbit dalam makalah-makalah akademik yang tidak dibaca oleh golongan massa, “organic intellectuals” terdiri daripada wartawan, penulis, kumpulan pemikir (think-tank), intelektual awam, pemimpin masyarakat dan lain-lain.
Penulisan, percakapan dan ulasan mereka yang dibaca dan didengar oleh orang awam sentiasa membawa naratif hegemoni elit penguasa yang mempengaruhi pemikiran masyarakat.
Mungkin dalam konteks hari ini, “organic intellectuals” ini termasuklah pempengaruh media sosial.
Ketika UMNO berada di puncak kuasa sebagai sebuah parti dominan, hegemoni politik UMNO dibina, perluas dan diperkukuhkan oleh naratif yang dimainkan oleh “organic intellectuals” menerusi insitusi negara, media massa, parti politik dan pertubuhan masyarakat.
Saya masih ingat ketika menghadiri kursus-kursus Biro Tata Negara (BTN) di zaman mahasiswa dahulu, naratif mengenai ketuanan Melayu, hak keistimewaan Melayu dan kemajuan masyarakat Bumiputera dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial dibincang, dibahas dan dihadam oleh para penceramah, fasilitator dan peserta. Inilah modul utama BTN yang digunakan oleh penceramah dan fasilitator yang kebanyakannya adalah aktivis dan penyokong UMNO.
[Kerana itulah DAP semasa menjadi pembangkang dahulu amat marah kepada BTN dan mendesak supaya BTN ditutup. Apabila berkuasa, BTN tidak ditutup tetapi dijenamakan semula sebagai Akademi Kenegaraan Malaysia di bawah Pejabat Perdana Menteri. Kini Malaysia Madani menjadi modul utama AKM]
Naratif UMNO mengenai ketuanan Melayu amat mempengaruhi pemikiran orang Melayu. Sehinggakan orang Melayu percaya bahawa hanya UMNO lah satu-satunya parti yang boleh membela dan mempertahankan kepentingan orang Melayu.
Walaupun ada kelemahan-kelemahan UMNO, sebahagian besar orang Melayu pada masa itu boleh berkompromi dengan kelemahan-kelemahan ini kerana mereka bimbang jika UMNO tidak berkuasa, maka orang Melayu akan hilang kuasa.
Pada masa yang sama parti-parti pembangkang dan masyarakat sivil yang tidak sehaluan dengan UMNO melancarkan “counter hegemony” untuk meruntuhkan hegemoni politik Melayu yang dibawa oleh UMNO. Yang paling kuat ialah DAP.
Mereka melabel hegemoni UMNO sebagai dominasi politik Melayu (Malay political dominance) yang zalim, bersifat diskriminasi serta bertentangan dengan prinsip kesamarataan (equality) dan demokrasi pelbagai kaum (multiracial democracy) di Malaysia.
Menurut “counter hegemony” ini, di bawah dominasi UMNO, orang-orang bukan Melayu adalah wargenegara kelas kedua. Untuk mencapai kesamarataan, dominasi politik UMNO mesti diruntuhkan.
Naratif ini cukup berpengaruh dalam kalangan orang-orang Cina terutamanya. Kerana itu DAP amat berpengaruh dalam masyarakat Cina dan menerima “free votes” pengundi Cina.
Ada juga sebahagian orang Melayu yang percaya dengan naratif “counter hegemony” ini namun jumlah mereka tidak lah ramai.
Tanpa sokongan orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, naratif “counter hegemony” ini tidaklah kuat. Ia tidak boleh membantu parti seperti DAP memenangi pilihanraya dan menjadi kerajaan.
Namun lama kelamaan, dengan kelemahan dan perpecahan dalaman UMNO (krisis Ku Li-Mahathir, Anwar-Mahathir, Mahathir/Muhyiddin – Najib), kedudukan UMNO sebagai parti dominan mula goyah sehingga akhirnya UMNO/BN kalah dalam PRU-14.
Kekalahan UMNO itu pun disebabkan sekitar 20-25% orang Melayu memihak kepada Pakatan Harapan dalam PRU-14. Majoriti orang Melayu masih memilih UMNO atau PAS yang kedua-duanya menganjurkan hegemoni politik Melayu/Islam. BERSATU yang bersama-sama dalam PH pada masa itu pun mempunyai ideologi yang sama walaupun dalam konfigurasi politik yang berbeza.
Oleh kerana itu, walaupun slogan “Malaysia Baharu” bergema pasca PRU-14 realiti yang masih ada ialah “Malaysia Lama”.
Maknanya majoriti orang Melayu masih berpegang kepada “kesedaran politik Melayu” walaupun mereka berada dalam parti politik yang berlainan. Orang bukan Melayu pula masih menentang dominasi politik Melayu yang dikatakan bersifat diskriminasi, zalim dan tidak demokratik.
Semuanya masih sama.
Yang berbeza ialah pasca PRU-14 dan PRU-15, buat pertama kali dalam sejarah parti politik yang menentang hegemoni politik Melayu berada pada posisi yang dominan dalam kerajaan, berkuasa membuat dasar-dasar kerajaan dan berpeluang membina, memperluas dan memperkukuh suatu hegemoni baharu yang tidak lagi berasaskan ketuanan Melayu, tetapi berteraskan ideologi kesamarataan dan demokrasi pelbagai kaum.
Manakala parti politik yang mendokong hegemoni Melayu berada dalam pembangkang atau menjadi parti minoriti dalam kerajaan. Walaupun orang Melayu adalah kaum majoriti, walaupun UMNO masih menjadi sebahagian daripada kerajaan, hegemoni politik Melayu telah berakhir.
Hegemoni baharu ini terjelma dalam bentuk Malaysia Madani, iaitu suatu projek ideologi baharu yang tidak lagi berteraskan ketuanan Melayu tetapi meraikan kepelbagaian dan kesamarataan dalam sebuah negara demokrasi pelbagai kaum.
Di bawah hegemoni baharu ini, bercakap pasal Kaum, Agama dan Raja (Race, Religion and Royalty – 3R) adalah satu jenayah.
Insitusi kerajaan (JKOM, Akademi Kenegaraan, sekolah, universiti) digunakan untuk memperluas dan memperkukuh hegemoni baharu ini.
Media dan “organic intellectuals” dikerah untuk memperluas fahaman ideologi kesamarataan dan demokrasi pelbagai kaum kepada anak-anak muda Melayu supaya mereka sendiri berasa alergik, mual dan apologetik dengan konsep dan prinsip kesedaran politik Melayu.
Institusi, mekanisme dan modus operandi sama yang digunakan oleh kerajaan UMNO/BN dahulu untuk mempromosi hegemoni politik Melayu digunakan oleh elit penguasa hari ini untuk membina, memperluas dan memperkukuh hegemoni politik baharu ini.
Inilah yang berlaku pada hari ini.
Apa jadi dengan kesedaran politik Melayu?
Bagi saya penyokong tradisi UMNO masih mempunyai kesedaran politik Melayu. Hegemoni politik yang berteraskan kesedaran Melayu masih tebal dalam jiwa dan pemikiran mereka. Kalau mereka tiada kesedaran politik Melayu, mereka telah tinggalkan UMNO dan memilih parti lain.
Malangnya, kerana setia kepada parti mereka tetap mengundi UMNO atau parti sekutu UMNO (PKR, Amanah atau DAP) dalam pilihanraya walaupun undi mereka memberi ruang kepada parti yang berjuang meruntuhkan kuasa politik Melayu untuk berada di tampuk kuasa.
Inilah yang saya katakan kesedaran itu telah menjadi “kesedaran palsu”. Ada kesedaran tetapi tindakan yang dibuat adalah bertentangan dengan kesedaran tersebut.
Bukan sahaja ia suatu kesedaran palsu, tetapi ia juga memberi “keabsahan Melayu” kepada dominasi hegemoni politik baharu yang tidak lagi berteraskan kuasa politik Melayu.
Apabila anak-anak muda Melayu telah merangkul hegemoni baharu ini, maka mereka secara sukarela tanpa paksaan akan meninggalkan perjuangan politik Melayu.