MUHYIDDIN DAKWA KERAJAAN GAGAL KERANA TIDAK CEKAP, HANYA NAIKKAN CUKAI DAN HAPUS SUBSIDI APABILA HASIL KURANG

KUALA LUMPUR, 18 Jun — Presiden Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Mohd Yassin, membidas tindakan kerajaan Madani yang disifatkannya membebankan rakyat dengan peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Beliau mendedahkan bahawa daripada 8,094 barangan yang sebelum ini dikecualikan SST, kini hanya 1,813 barangan sahaja yang masih bebas cukai SST, menyebabkan lebih 90% barangan — termasuk keperluan asas seperti gula, garam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan — dikenakan cukai.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan mengenakan cukai ke atas barangan asas seperti epal, pisang dan oren sebagai sesuatu yang tidak munasabah dan zalim. Menurutnya, ini membuktikan dakwaan bahawa kerajaan Madani kononnya hanya mengenakan cukai ke atas golongan maha kaya hanyalah retorik semata-mata. “Ini bukan makanan orang kaya. Ini makanan rakyat biasa sejak dahulu lagi. Menambah hasil kerajaan RM10 bilion dengan mencekik darah rakyat tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Tan Sri Muhyiddin turut mempersoalkan mengapa peluasan skop SST ini tidak ditangguhkan sehingga pembentangan Bajet 2026 agar ia dapat dibahaskan di Parlimen. Katanya, rakyat baru sahaja menanggung beban akibat penghapusan subsidi diesel dan kenaikan kadar SST pada tahun lalu, kini ditambah pula dengan cadangan kenaikan tarif elektrik dan pelarasan subsidi RON95. Semua langkah ini, katanya, akan memberikan kesan bertimpa-timpa yang menekan majoriti rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Beliau menegaskan bahawa tindakan kerajaan melaksanakan dasar fiskal secara terburu-buru tanpa perancangan yang teliti adalah bukti kegagalan mengurus ekonomi negara dengan baik. “Apabila hasil negara berkurang, kerajaan menjadi seperti lintah yang setiap hari menghisap darah rakyat dengan pelbagai cukai dan penghapusan subsidi,” katanya sambil mendesak kerajaan membatalkan peluasan SST dan cadangan kenaikan tarif elektrik.

Sebagai langkah ke hadapan, Muhyiddin mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan GST dengan kadar munasabah dan selepas libat urus bersama semua pihak berkepentingan. Beliau percaya GST lebih baik berbanding SST dalam bentuk yang dilaksanakan sekarang. “Tugas kerajaan ialah meringankan beban rakyat, bukan menambah beban mereka. Jika perkara asas ini gagal dilaksanakan, kerajaan Madani telah gagal dan wajar ditolak rakyat,” tegas beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *