KUALA LUMPUR, 15 April — Timbalan Presiden, Parti Pribumi Bersatu Malaysia BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin menzahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat negara.
“Innalillahiwainnailaihirojiun. Saya menerima khabar duka pemergian Allahyarham Tun Abdullah sebaik sahaja tiba di luar negara malam ini, bersama rakan-rakan Ahli Parlimen Perikatan Nasional,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Hamzah turut mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham dan menyifatkan negara telah kehilangan “sebutir permata yang benar-benar berharga dalam konteks perjuangan agama, bangsa dan negara”.
Beliau turut berkongsi hubungan rapatnya dengan Allahyarham yang dianggapnya sebagai seorang guru dalam dunia politik.
“Saya pernah dijemput ke rumah beliau pada suatu malam. Selepas solat berjemaah, beliau meminta saya duduk di hadapannya dan mengijazahkan saya dengan ilmu agama sebagai satu amalan. Ia satu kenangan yang sangat bermakna buat saya,” katanya.
Tambah beliau, jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdullah amat besar, antaranya pelaksanaan konsep Islam Hadhari, pembangunan Koridor Ekonomi, penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemerkasaan industri halal dan sektor pertanian serta pembangunan modal insan.
“Semua inisiatif ini akan sentiasa dikenang sebagai warisan berharga peninggalan Pak Lah dalam sejarah negara,” katanya.
Dari sudut politik, Hamzah menyifatkan rekod pencapaian Pak Lah pada Pilihan Raya Umum 2004 sebagai luar biasa dan sukar ditandingi oleh mana-mana Perdana Menteri lain.
“Pak Lah yang saya kenali benar-benar merupakan Mr. Clean,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Al-Fatihah,” katanya mengakhiri kenyataan tersebut.