KUALA LUMPUR – Susulan kontroversi membabitkan tiga penyampai radio ERA FM yang didakwa mempersenda agama Hindu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyerahkan Notis Niat Penggantungan Lesen kepada pemegang lesen yang mengendalikan stesen radio tersebut.
Menurut EXCO ARMADA BERSATU Malaysia, Muhammad Khairi Zainol Abidin, tindakan SKMM ini menimbulkan persoalan kerana pihak pengurusan ERA FM telah pun mengambil tindakan terhadap tiga penyampai yang terlibat, termasuk permohonan maaf dan tindakan disiplin. Kritikan timbul apabila keputusan SKMM dilihat boleh menjejaskan periuk nasi kakitangan lain yang tidak terlibat dalam insiden berkenaan.
Dalam kes lain, dua individu – Harith Iskander dan Cecelia Yap – masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 atas kesalahan memuat naik kandungan yang berpotensi menghina agama Islam. Namun, tindakan yang diambil terhadap mereka adalah secara individu tanpa melibatkan organisasi yang berkaitan.
Persoalan turut dibangkitkan mengapa tindakan terhadap ERA FM berbeza dengan kes lain seperti KK Super Mart, yang terlibat dalam isu penjualan stokin dengan kalimah “Allah”. Walaupun pihak KK Mart telah dituduh di mahkamah di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, premis mereka tidak menerima notis penggantungan operasi.
Rakyat juga mendesak agar SKMM mengambil pendekatan lebih adil dan konsisten dalam menangani isu sensitif berkaitan penghinaan agama, tanpa menjadikan organisasi keseluruhan sebagai mangsa akibat kesalahan individu.