Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan oleh YB Dato’ Sri Ikmal Hisham, Ahli Parlimen Tanah Merah yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Menteri Pertahanan telah memberikan respon yang mengelirukan terhadap persoalan yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional berkaitan pelaksanaan pajakan 28 buah helikopter melalui program ‘Government Operate, Company Own and Maintain’ (GOCOM) pelbagai varian dari Syarikat Leonardo dengan nilai keseluruhan RM16.6 bilion selama 15 tahun.
Menteri Pertahanan terpaksa mempertahankan keputusan kerajaan dalam naratif beliau dan telah menyatakan bahawa kontrak pembelian helikopter AW149 oleh Kerajaan Poland tidak wajar dibandingkan dengan kontrak GOCOM antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd. walaupun kontrak Kerajaan Poland berharga lebih murah kerana ianya tidak merangkumi kos ‘maintanence, repair and overhaul’ (MRO).
Katanya, “ Setelah siasatan dibuat apa yang dinyatakan oleh Menteri Pertahanan ini bukan sahaja tidak benar sama sekali. Ini kerana kos RM8.86 bilion bagi pembelian sebanyak 32 buah helikopter jenis AW149 keluaran Syarikat Leonardo dari Itali oleh Kerajaan Poland juga merangkumi kos selenggara, penyediaan alat alat ganti, pembinaan kilang pemasangan di Poland, penyediaan pusat simulator latihan, kerja-kerja pemasangan senjata, usaha pemindahan teknologi, latihan juruterbang dan krew lapangan, pembangunan avionik pesawat, jaminan naik taraf seumur hidup dan banyak lagi bukan sebagaimana naratif yang cuba dibawa oleh Menteri Pertahanan dalam mempertahankan berkaitan kontrak GOCOM Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd”.
Tambahnya lagi, “ Apa yang lebih jelas lagi, Kerajaan Poland membeli terus daripada syarikat pengeluar helikopter iaitu Leonardo, manakala kontrak GOCOM Malaysia adalah perjanjian antara Kerajaan Malaysia dengan Syarikat Weststar Aviation Services Sdn. Bhd.
Ikmal Hisham yang juga Ketua Portfolio Pertahanan Ahli Parlimen Perikatan Nasional bertanya, apakah helikopter AW149 yang akan dibekalkan kepada anggota tentera boleh melakukan ‘basic underslung’ meriam 105mm ‘pack howitzer’?
Ini kerana, tidak pernah dibuktikan di dalam sejarah di dunia bahawa helikopter AW149 ini mampu melaksanakan tindakan ‘under-slung’ meriam 105 mm ‘pack howitzer’ dan penekanan oleh Menteri bahawa Tentera Negara Mesir pernah mengangkut meriam secara ‘under-slung’ ini juga adalah tidak betul.
Tambahan pula, kerja operasi atau tindakan ‘under-slung’ meriam 105mm ‘pack howitzer’ oleh pesawat helikopter AW149 tidak pernah dibuktikan secara nyata melalui tindakan pandu-uji oleh juruterbang tentera dan jawapan Menteri hanya berasaskan maklumat “brochure” atau katalog yang dibekalkan oleh syarikat.
ATM negara kita mesti dibekalkan helikopter yang benar-benar memenuhi keperluan “user” iaitu keperluan tentera udara, tentera laut dan tentera darat. Mereka tidak boleh di ”short-change” kerana ATM menjaga keselamatan dan kedaulatan negara . Mereka mesti dibekalkan helikopter yang terbaik dan juga tidak berisiko kepada anggota kita yang bertugas.