Parit Buntar, 25 Mei – Cadangan kerajaan untuk menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam daripada 60 kepada 65 tahun disifatkan sebagai satu langkah mundur yang bakal menjejaskan masa depan golongan belia, khususnya di Negeri Perak.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap Ketua Armada BERSATU Parit Buntar, Halim Nayan berkata, langkah tersebut bukan sahaja menutup peluang pekerjaan bagi anak muda, malah membantutkan proses kenaikan pangkat dan perkembangan kerjaya golongan tersebut dalam sektor awam.
“Cadangan ini akan melambatkan kekosongan jawatan, menyekat peluang pekerjaan baharu, dan menjejaskan proses kenaikan pangkat anak muda yang sedia ada dalam sistem pekerjaan. Ini sangat tidak baik dalam ekosistem industri pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Halim, kadar pengangguran belia di Perak kekal membimbangkan walaupun kadar pengangguran keseluruhan menunjukkan penurunan daripada 3.9% pada tahun 2022 kepada 3.2% pada 2024. Namun begitu, ramai graduan masih gagal mendapatkan pekerjaan setimpal dan terpaksa bekerja di luar bidang kelayakan semata-mata untuk menyara kehidupan.
Beliau turut memetik kenyataan EXCO Armada Nasional, Airil Jalaludin, yang menyatakan ketidakpadanan antara kemahiran dan pekerjaan menjadi isu utama yang turut dirasai di Perak.
Sehubungan itu, Halim mencadangkan beberapa langkah proaktif bagi membantu belia tempatan termasuk penubuhan Pusat Kerjaya Belia Negeri Perak yang menyediakan perkhidmatan pemadanan kerja, latihan semula kemahiran, kaunseling kerjaya serta bimbingan keusahawanan secara berpusat.
Beliau juga mencadangkan agar kerajaan negeri memperkenalkan insentif khas kepada majikan sektor swasta yang menggaji anak muda Perak, terutamanya dalam sektor teknologi, pertanian moden dan industri kreatif. Di samping itu, Halim turut mencadangkan agar akses kepada geran mikro keusahawanan belia diperluas, khususnya di kawasan luar bandar.
“Langkah-langkah ini jauh lebih bertanggungjawab berbanding cadangan menaikkan umur persaraan tanpa menilai kesan rantaian terhadap tenaga kerja muda,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa Armada BERSATU Negeri Perak akan terus memperjuangkan isu ini demi memastikan dasar yang diperkenalkan tidak menghalang kemajuan dan pembangunan anak muda.