“PENDIDIKAN TUNJANG EKONOMI”, SISTEM PENDIDIKAN PERLU SELARI DENGAN KEHENDAK DAN REALITI – HILMAN IDHAM

BANGI, 1 JUN 2025 – Sistem pendidikan negara perlu didemokrasikan secara menyeluruh bagi melahirkan generasi milenial yang lebih berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran masa depan, kata Ketua ARMADA BERSATU Malaysia, YB Hilman Idham.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri konferensi Dialog Melayu Milenial yang berlangsung semalam di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dialog tersebut menghimpunkan golongan belia Melayu daripada pelbagai latar belakang bagi membincangkan hala tuju dan masa depan anak muda dalam landskap sosial, politik dan ekonomi negara.

Menurut YB Hilman Idham, pendekatan pendidikan yang terlalu terikat dan mengekang kebebasan berfikir hanya akan melahirkan generasi pasif yang gagal bersaing dalam dunia yang semakin mencabar.

“Sistem pendidikan yang tidak memasung fikrah dan pergerakan akan membangun generasi yang lebih unggul dan mempunyai daya saing yang tinggi,” ujarnya dalam sesi dialog tersebut.

Tambah beliau, kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada penggubalan dasar semata-mata, sebaliknya perlu menyediakan infrastruktur dan sokongan menyeluruh yang membolehkan anak muda membina jati diri dan kekuatan kendiri.

YB Hilman Idham yang juga Ahli Dewan Negeri Selangor turut menekankan bahawa pendidikan merupakan teras utama dalam pembangunan ekonomi negara.

“Pendidikan adalah tunjang ekonomi. Justeru, sistem pendidikan kita mestilah selari dengan kehendak dan realiti pasaran pekerjaan agar tidak berlaku ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan,” katanya lagi.

Beliau turut mengingatkan agar kerajaan tidak bersikap “flip-flop” dalam penggubalan dasar pendidikan, kerana ketidakkonsistenan hanya akan menjejaskan masa depan generasi muda.

Dialog tersebut turut disertai oleh wakil-wakil pelajar, pemimpin belia, dan aktivis pendidikan yang tampil berkongsi pandangan dan cadangan terhadap pembaharuan sistem pendidikan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *