KUALA LUMPUR, 4 Mac 2025 – Timbalan Presiden BERSATU, Yang Berhormat Dato’ Seri Hamzah Zainudin, mempersoalkan dalam sesi Parlimen sama ada kerajaan akan bertindak terhadap ahli lembaga TNB selepas membuat pengumuman palsu kenaikan tarif elektrik oleh TNB yang melanggar obligasi Penzahiran Maklumat Material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Berikutan kekeliruan yang timbul daripada pengumuman tersebut, maklumat tidak tepat mengenai tarif elektrik boleh memberi kesan besar kepada rakyat dan pelabur.
Walaupun kerajaan menjelaskan bahawa tarif asas elektrik masih dikawal melalui mekanisme Incentive Based Regulation (IBR) dan keputusan muktamad hanya dibuat pada 13 Disember 2024, pembangkang tetap berpendapat bahawa TNB tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kekeliruan di kalangan pengguna dan pasaran.
Malah jawapan yang diberikan oleh Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air kepada soalan Ahli Parlimen Larut itu seperti tidak menjawab persoalan yang sebenar. Kerajaan perlu diingatkan supaya lebih telus dan fokus dalam proses penetapan tarif serta memastikan tiada pihak yang menyalahgunakan kedudukan untuk mengeluarkan maklumat mengelirukan demi kepentingan tertentu.
Selain itu, kerajaan juga perlu dilihat serius dalam mengendalikan isu ini dengan mengambil tindakan tegas terhadap ahli lembaga Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan dakwaan pengumuman palsu mengenai kenaikan tarif elektrik yang dikatakan melanggar obligasi pendedahan maklumat material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.