PENSTRUKTURAN SEMULA EKONOMI KUNCI NEGARA KELUAR DARI KELOMPOK PENDAPATAN SEDERHANA – HAMZAH ZAINUDIN

PETALING JAYA, 7 Mei 2025 – Timbalan Presiden BERSATU, YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin, berpandangan bahawa sudah tiba masa negara merombak sepenuhnya struktur ekonomi yang menurutnya menjadi punca Malaysia terperangkap dalam kelompok pendapatan sederhana sejak 15 tahun lalu.

Bercakap kepada Free Malaysia Today (FMT), beliau menegaskan perlunya penstrukturan semula dasar, melalui penilaian semula modal asas seperti kewangan, perbendaharaan, sumber asli serta komoditi, malah dari semua aspek, dan kemudian ianya perlu dilakukan pembaikan menyeluruh agar Malaysia lebih berdaya tahan dalam tempoh 50 ke 60 tahun akan datang.

Beliau turut menegaskan Malaysia dan Taiwan bermula di tahap yang hampir sama pada tahun 1970-an, tetapi pada hari ini Taiwan jauh mendahului Malaysia. Katanya lagi, Malaysia terlalu selesa berada di segmen pertengahan industri semikonduktor dan kurang pelibatan dalam segmen huluan dan hiliran industri tersebut dalam peranan mereka bentuk misalnya, memandangkan dalam industri semikonduktor segmen hiliran dan huluan merupakan lubuk sebenar pendapatan besar dalam industri tersebut. 

YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin turut menyentuh soal kebergantungan negara kepada import makanan seperti beras, walaupun Malaysia memiliki tanah pertanian yang luas. Sedangkan dengan tahap kesuburan dan keluasan tanah dalam negara cukup untuk menjadikan negara tidak perlu terlalu bergantung kepada import sekurang-kurangnya dalam sektor makanan. Keadaan ini merupakan satu lagi bukti ketempangan struktur ekonomi dan memerlukan penilaian semula serta pembaikan menyeluruh. 

Sebagai Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, beliau juga menegaskan keperluan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan negara agar lebih seiring dengan hala tuju ekonomi semasa dan jangka masa panjang, bagi mengatasi masalah ketidakpadanan pekerjaan yang semakin membebankan golongan muda.

Beliau berkata, “Anda tidak boleh begitu sahaja menggalakkan golongan muda melanjutkan pengajian tinggi tanpa memastikan ia sepadan dengan dasar semasa, jika tidak akan berlaku ketidaksepadanan”.

Menurut beliau lagi, pendidikan tidak boleh digalakkan secara semberono tanpa memastikan padanannya dengan keperluan semasa dan jangka masa panjang. Negara perlukan pembaharuan dasar pendidikan yang dirancang seiring dengan dasar ekonomi negara. Jika tidak, katanya, akan berlaku ketidakseimbangan yang memberi kesan kepada prospek kerjaya graduan muda dan malah akan menjadikan mereka ketinggalan di belakang.

Sumber FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *